KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd berhasrat menjalinkan kerjasama strategik dengan penganjur pameran antarabangsa serta menjadikan Malaysia hab serantau bagi kecemerlangan industri pembinaan menerusi Malaysia International Building and Construction Industry Showcase (BuildXpo Malaysia) 2025.
Pengerusi Eksekutif Richard Teo berkata syarikat berkenaan juga komited untuk memperluas BuildXpo ke peringkat antarabangsa.
“Satu daripada bentuk kerjasama tersebut ialah dengan GlassTech Asia & Fenestration Asia (GAFA) 2026 yang dianjurkan Messe Munchen International Asia.
“GAFA yang diadakan serentak dengan BuildXpo 2026 bakal menampilkan 350 pempamer yang memberi tumpuan kepada bidang kaca, tingkap, fasad dan kelestarian, sekali gus melengkapi tumpuan BuildXpo terhadap teknologi, peralatan dan bahan binaan,” katanya.
Teo berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan BuildXpo Malaysia 2025 berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Pada majlis itu turut dilancarkan Pelan Hala Tuju Sistem Pengangkutan Pintar Malaysia (ITS) 2030 oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta pemeteraian kerjasama pelaksanaan program Construction Digital Maturity Index (CDMI).
Selain itu, satu memorandum persefahaman (MoU) turut dimeterai antara Lembaga Pembangunan Indsutri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP).
Teo berkata di Qube, visi mereka sentiasa jelas iaitu mewujudkan platform bermakna yang mempertemukan inovasi dengan peluang serta menjadi ruang bagi perniagaan berhubung, bekerjasama dan berkembang.
Beliau berkata BuildXpo wujud berteraskan matlamat tersebut, iaitu sebagai platform yang menghubungkan keperluan industri dengan inovasi dan pelaburan.
“BuildXpo 2025 meliputi keluasan 10,000 meter persegi, menampilkan 150 syarikat dengan 350 reruai mewakili 11 negara dan wilayah, termasuk Malaysia, Austria, Brunei, Kemboja, China, Jepun, Hong Kong, Singapura, Thailand, Amerika Syarikat dan United Kingdom.
“Para pengunjung dapat menyaksikan pameran terbaik ditawarkan oleh industri — daripada teknologi dan bahan binaan, sehinggalah kepada mesin pintar, peralatan digital dan penyelesaian pembinaan lestari,” katanya.
Teo berkata visi BuildXpo sebagai platform transformasi turut diiktiraf pada Ogos lepas apabila BuildXpo Malaysia 2024 menerima Anugerah Kecemerlangan Pameran Perdagangan bagi kategori 10,001 hingga 20,000 meter persegi sempena Malaysia Business Events Awards 2025.
“Pengiktirafan ini mencerminkan semangat kolaboratif yang kami kongsi bersama CIDB, rakan strategik serta para pempamer,” katanya.
Menurut beliau, tahun ini Qube menerima kehadiran 17 pembeli antarabangsa dari 12 negara termasuk Bangladesh, China, Greece, India, Kuwait, Myanmar, Filipina, Qatar, Sri Lanka dan Trinidad & Tobago, yang terlibat dalam pelbagai sektor seperti teknologi hijau dan infrastruktur pintar.
“Perbincangan secara bersemuka ini membuka peluang kepada perkongsian dagangan sebenar, pemindahan teknologi serta jalinan pelaburan strategik.
“Melalui platform BuildXpo yang lebih meluas, Program Pencarian Sumber Antarabangsa (INSP) dijangka menjana nilai dagangan berpotensi melebihi RM700 juta, sekali gus membuktikan keaktifan dan daya saing industri pembinaan negara,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi CIDB Datuk Yusuf Abd Wahab berkata program yang berlangsung tiga hari bermula 28 Okt itu bertujuan memastikan kontraktor, pemaju, jurutera, pereka bentuk dan semua pemain industri pembinaan dapat mengakses teknologi terkini serta berkongsi pengetahuan dalam memacu kemajuan.
"Pelbagai pengisian menarik telah kita rancang sempena ICW kali ini antaranya program Women in Construction, Facility Management serta penyertaan daripada pihak universiti yang terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti dan pertandingan kecil dianjurkan.
"Pemenang bagi pertandingan tersebut juga akan menerima anugerah daripada pihak CIDB sebagai tanda penghargaan," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian itu.
Selain itu, Yusuf berkata pada program itu pihaknya turut menampilkan 10 pelabur yang akan mempamerkan kebolehan serta produk ciptaan mereka dalam pertandingan diadakan sepanjang minggu ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial