EKONOMI > BERITA

MENTERI LUAR, PERDAGANGAN APEC BINCANG ISU GEOPOLITIK DAN PERDAGANGAN MENJELANG AELM

30/10/2025 10:45 AM

Daripada Nor Baizura Basri

GYEONGJU (Korea Selatan), 30 Okt (Bernama) -- Menteri luar dan perdagangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) akan membincangkan mengenai isu geopolitik dan perdagangan serta hala tujunya hari ini menjelang Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-32 pada Jumaat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menyertai mesyuarat para pemimpin APEC itu. 

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, yang sudahpun berada di Gyeongju akan mewakili Malaysia pada mesyuarat peringkat Menteri.

Mohamad Hasan dijadual menyampaikan kenyataan rasmi Malaysia pada Mesyuarat Menteri-Menteri APEC ke-36.

Memanfaatkan momentum kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Mesyuarat Berkaitan yang baru sahaja berakhir pada Selasa, kedua-dua menteri dijangka membawa semangat yang sama, memperkukuh usaha proaktif berterusan negara dalam mencorakkan semula agenda serantau dan menyelaraskannya dengan keutamaan ekonomi negara.

Menurut Tengku Zafrul, Malaysia terus menyokong APEC sebagai platform penting untuk tindakan kolektif dan kemajuan bersama.

"Bersandarkan kepada pendirian kita dan prinsip MADANI, delegasi negara akan terus komited terhadap sistem perdagangan pelbagai hala yang adil, telus dan berasaskan peraturan.

"Agenda kita berlandaskan pertumbuhan mampan, diperkasakan oleh transformasi digital, kerjasama serantau dan pelaksanaan inklusif," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kemuncak forum 21 negara anggota ekonomi itu adalah pertemuan yang dinanti-nantikan antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping - pertemuan pertama mereka selepas penggal kedua pentadbiran Trump. Pertemuan terakhir kedua-dua pemimpin itu adalah pada Sidang Kemuncak G20 di Osaka, Jepun, pada Jun 2019.

Isu tarif timbal balas antara kedua-dua gergasi ekonomi itu dijangka menjadi agenda utama.

Trump, yang berada di peringkat terakhir jelajah Asianya sebelum ini telah menandatangani perjanjian perdagangan dengan Malaysia, Thailand, Kemboja, Vietnam, Jepun serta Korea Selatan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan mungkin akan bertemu Trump sekali lagi selepas pertemuan mereka di Kuala Lumpur semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Mesyuarat Berkaitan yang baru sahaja berakhir.

Perdana Menteri, yang mengetuai delegasi Malaysia, dijangka tiba hari ini dan dijadualkan menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM).

Di luar acara AELM, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dan perbincangan bersemuka bersama pemimpin perniagaan utama sebagai sebahagian daripada strategi Malaysia untuk mengukuhkan kedudukannya dalam perdagangan, pelaburan, inovasi kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan tenaga lestari.

Malaysia merupakan anggota pengasas APEC.

Secara kolektif, ekonomi APEC menyumbang kira-kira 61 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global dan 46 peratus daripada perdagangan dunia, sekali gus menunjukkan peranan penting perkumpulan itu dalam memacu pertumbuhan dan integrasi ekonomi antarabangsa.

Dengan populasi melebihi tiga bilion, rantau APEC terus berfungsi sebagai enjin utama pembangunan global dan diunjurkan berkembang sebanyak 2.9 peratus pada 2026, mencerminkan daya tahan dan potensi ekonominya yang berkekalan.

Gyeongju, yang digelar sebagai "muzium tanpa tembok" memiliki pelbagai tapak bersejarah dengan sebahagiannya telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, menjadi tuan rumah  kepada perhimpunan ekonomi Asia-Pasifik itu bagi tahun ini.

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan