KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Situasi banjir di Perak dan Kedah terus menunjukkan trend pemulihan apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 850 orang malam ini, berbanding 906 orang pagi tadi.
Di PERAK, banjir hampir pulih apabila jumlah mangsa terus berkurangan kepada 130 orang daripada 36 keluarga yang masih berlindung di satu PPS di daerah Manjung, berbanding 136 daripada 38 keluarga pagi tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, kesemua mangsa berlindung di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, manakala PPS SK Sungai Batu ditutup petang tadi.
Di KEDAH, jumlah mangsa banjir berkurangan malam ini kepada 720 orang daripada 202 keluarga berbanding 770 orang daripada 216 keluarga, pagi tadi.
JPBN Kedah dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa dari daerah Pendang, Kota Setar dan Pokok Sena masih berlindung di lima PPS.
“Daerah Pendang masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 572 orang daripada 160 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS.
“Di Kota Setar pula, 136 orang daripada 38 keluarga masih berlindung di sebuah PPS manakala di Pokok Sena sebanyak 12 orang daripada empat keluarga ditempatkan di sebuah PPS,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, menurut laman web rasmi Public Infobanjir, satu sungai di Kedah telah melebihi paras waspada iaitu Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar (1.66 meter).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial