KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd mencatat keuntungan bersih lebih rendah pada RM63.85 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2025 (S3 2025), daripada RM85.74 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
Perolehan hasil juga susut pada RM179.90 juta berbanding RM211.26 juta bagi tempoh sama 2024.
“Jumlah pendapatan komprehensif bagi S3 2025 adalah RM63.4 juta, turun sebanyak 25.3 peratus kepada RM84.9 juta bagi tempoh sama 2024, disebabkan terutamanya oleh penyusutan pendapatan pada suku berkenaan bagi tahun ini,” katanya dalam kenyataan kepada bursa pada hari ini.
Bursa Malaysia berkata segmen pasaran ekuiti meraih keuntungan sebanyak RM93.8 juta pada S3 2025, penurunan sebanyak 22.4 peratus berbanding RM120.9 juta bagi tempoh sama tahun lepas berikutan hasil operasi lebih rendah.
Perolehan hasil segmen itu bagi tempoh di bawah kajian berjumlah RM118.9 juta berbanding RM147.3 juta dalam suku sama pada 2024.
“Selain itu, perbelanjaan segmen berkenaan juga berkurangan sebanyak 5.4 peratus kepada RM28 juta pada S3 2025 berbanding RM29.6 juta pada S3 2024 berikutan kos kakitangan yang lebih rendah pada suku itu,” katanya.
Pada masa sama, segmen pasaran derivatif meraih keuntungan lebih tinggi sebanyak RM12.2 juta pada suku di bawah kajian berbanding RM12 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Menurutnya, bagi tempoh kumulatif sembilan bulan pertama 2025, keuntungan bersih Bursa Malaysia susut kepada RM189.33 juta daripada RM241.22 juta setahun sebelumnya manakala hasil berkurangan kepada RM536.86 juta daripada RM598.39 juta sebelum ini.
Bursa Malaysia menyifatkan prestasi kewangannya yang lebih menyederhana pada sembilan bulan pertama 2025 itu adalah terutamanya disebabkan oleh penyusutan hasil dagangan sebanyak 25 peratus daripada segmen pasaran sekuriti kepada RM225.2 juta daripada RM300.3 juta bagi tempoh sama 2024.
“Keadaan ini berikutan penyusutan sebanyak 25.6 peratus dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) kepada RM2.5 bilion daripada RM3.4 bilion bagi tempoh di bawah tinjauan itu,” katanya.
Bagi kemajuan masa depan Bursa Malaysia berkata ia kekal fokus terhadap usaha memajukan strategi untuk menjadi bursa pelbagai aset.
“Keutamaan segera termasuk memperkukuh kedudukan sebagai platform pilihan bagi tujuan pengumpulan dana untuk perniagaan dalam usaha menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia, meningkatkan daya tarikan dan mudah tunai pasaran serta membuka peluang baharu dalam perniagaan data.
“Bursa Malaysia akan terus berpandukan petunjuk prestasi utama (KPI) terkini bagi 2025 selain terus memantau perkembangan global serta impaknya ke atas pasaran,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial