AM > BERITA

PR1MA Cemerlang, Rangkul Enam Anugerah Di QUEST 2025

30/10/2025 03:47 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Agensi peneraju kediaman mampu milik bagi kumpulan M40, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) mencatat kejayaan gemilang apabila merangkul enam anugerah pada QUEST 2025 anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini. 

Anugerah berprestij yang disampaikan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan menyaksikan empat projek dilaksanakan agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu meraih pengiktirafan dalam dua kategori hasil pencapaian skor Sistem Penilaian Kualiti untuk Kerja Pembinaan Bangunan (QLASSIC).

PR1MA dalam kenyataan hari ini, memaklumkan Residensi Brickfields di sini dan Residensi Melaka Tengah 2, Melaka yang masing-masing mencatatkan skor QLASSIC 82 dan 79 peratus menerima Anugerah Kecemerlangan Kategori Projek Kerajaan B. 

Sementara itu, Residensi Port Dickson, Negeri Sembilan dan Residensi Tok Bali Fasa 1, Kelantan masing-masing dengan skor QLASSIC 79 dan 76 peratus memperoleh Anugerah Kecemerlangan Kategori Projek Kerajaan A.

“Lebih membanggakan Residensi Brickfields turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Tertinggi bagi Kategori Projek Kerajaan B sekali gus menjulang nama PR1MA sebagai peneraju pembangunan kediaman mampu milik berkualiti tinggi,” menurut kenyataan itu. 

Selain itu, PR1MA turut menerima Anugerah Pengiktirafan Khas (QLASSIC) daripada CIDB sebagai penghormatan atas komitmen berterusan memperkukuh standard kualiti pembinaan serta dedikasi dalam mengaplikasikan standard QLASSIC bagi projek perumahan di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Anggota Perbadanan PR1MA Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff dalam kenyataan sama berkata kejayaan PR1MA pada QUEST 2025 membuktikan rumah mampu milik juga mampu mencapai standard kualiti setanding projek perumahan pasaran terbuka.

Beliau berkata kejayaan itu bukan sekadar pencapaian, tetapi suntikan semangat untuk agensi terus memperkasakan mutu pembinaan, mengekalkan kecemerlangan serta memperteguh reputasi PR1MA sebagai peneraju perumahan mampu milik bagi kumpulan M40.

“Ini juga sebagai menyokong aspirasi kerajaan untuk menyediakan rumah yang berkualiti, lestari dan mampu dimiliki rakyat Malaysia,” katanya.

QUEST 2025 diadakan bersempena Minggu Pembinaan Antarabangsa dan BuildXpo 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 28 Okt di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Majlis itu menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, pemaju serta pemain industri bagi membincangkan hala tuju inovasi, kelestarian dan transformasi dalam sektor pembinaan negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan