AM > BERITA

Kampung Kuala Tahan Dipilih Kampung Angkat MADANI Perhilitan

30/10/2025 06:09 PM

KUANTAN, 30 Okt (Bernama) -- Kampung Kuala Tahan di Jerantut dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI 2025 di bawah seliaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia. 

Perhilitan dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pemilihan kampung itu berdasarkan kedudukannya berhampiran Taman Negara Pahang yang kaya dengan khazanah biodiversiti serta menjadi sumber tarikan ekopelancongan.

Menerusi program itu, Perhilitan berhasrat memperkukuh kerjasama dengan komuniti setempat antaranya memberi pendedahan kepentingan pemuliharaan hidupan liar, mengurangkan konflik manusia-hidupan liar dan menggalakkan aktiviti mesra alam.

“Ia juga untuk menggalakkan penduduk setempat terlibat aktiviti ekopelancongan berasaskan komuniti yang mampan dan melaksanakan sumbangan komuniti serta pembangunan kemudahan asas untuk manfaat bersama-sama,” menurut kenyataan itu. 

Terdapat sembilan projek utama telah dilaksanakan berdasarkan keperluan penduduk kampung itu seperti kerja membaiki bumbung masjid, menaik taraf gelanggang futsal berserta pagar selain perolehan sebuah van jenazah, peralatan dan kelengkapan masjid serta tanah perkuburan.

Perhilitan memaklumkan program Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI Tahun 2025 itu diadakan di Kompleks Letak Kereta Kuala Tahan hari ini. 

Sementara itu, Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dalam kenyataan sama berkata Program Kampung Angkat MADANI itu merupakan platform untuk mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat.

Beliau berkata pihaknya komited untuk memastikan usaha konservasi dapat digerakkan bersama-sama komuniti supaya khazanah alam semula jadi terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Program Kampung Angkat MADANI merupakan inisiatif kerajaan dalam merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar dalam aspek menyediakan kemudahan asas diperlukan.

Pendekatan whole of nation yang digerakkan dalam Kampung Angkat MADANI juga memberi peluang penjawat awam pelbagai kementerian dan agensi untuk turun padang secara langsung, sekali gus mengubah cara kerajaan berinteraksi dengan rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan