KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Pengiktirafan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tokoh Muslim paling berpengaruh ke-10 dunia, membuktikan kepemimpinan beliau diiktiraf dan dihormati oleh masyarakat Islam serta antarabangsa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata pengiktirafan yang diterima menerusi penerbitan The World’s 500 Most Influential Muslims 2026 oleh The Royal Islamic Strategic Studies Centre (RISSC) itu, merupakan satu pencapaian besar.
“Malah ia juga merupakan satu penghormatan buat Malaysia oleh masyarakat antarabangsa terhadap pencapaian, pendirian dan sumbangan Perdana Menteri, dalam mengemudi kepemimpinan negara serta menangani isu-isu kepentingan masyarakat antarabangsa berasaskan prinsip sentraliti, sederhana, seimbang dan berhikmah.
“Ia juga membuktikan ketokohan kepimpinan Perdana Menteri di dunia Islam dan antarabangsa menerusi perkongsian gagasan idea keamanan tamadun dan kemakmuran bersama, merungkai permasalahan menerusi pendekatan diplomasi serta menggalakkan kerjasama ekonomi baru berasaskan kehormatan terhadap kedaulatan negara,” katanya.
Beliau yang berkata demikian menerusi hantaran di Facebook turut menyifatkan pengiktirafan itu mencerminkan penerimaan global terhadap konsep kepimpinan Anwar, yang mempelopori pembangunan negara dan tamadun berasaskan nilai keadilan, kemanusiaan dan kesejahteraan sejagat berpandukan kerangka Malaysia MADANI.
Mohd Na’im berkata peningkatan kedudukan Perdana Menteri dari tangga ke-15 (edisi 2025) kepada tangga ke-10 tahun ini juga, menunjukkan falsafah Malaysia MADANI yang digagaskan oleh Perdana Menteri telah diterima dihati rakyat Malaysia serta diiktiraf di pentas antarabangsa.
Selain itu, beliau berkata ketegasan Anwar memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin serta peranan Malaysia sebagai pengantara keamanan di rantau Asia Tenggara, memperkukuh imej negara sebagai negara Islam contoh yang konstruktif dan berprinsip dalam mempertahankan nilai kemanusiaan sejagat.
Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dalam kenyataan berasingan berkata pengiktirafan itu, menjadi manifestasi keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kepimpinan Anwat yang tegas mempertahankan kebenaran serta prinsip kemanusiaan sejagat.
Beliau berkata pengiktirafan itu juga menonjolkan keberanian Anwar dalam isu Palestin, terutama ketegasan beliau mengecam hipokrasi kuasa-kuasa besar terhadap tragedi kemanusiaan di Gaza.
“Penghormatan ini amat signifikan, kerana ia juga mencerminkan kesinambungan perjalanan perjuangan beliau yang bermula di medan aktivisme belia Islam melalui penubuhan ABIM pada tahun 1971.
“Sejak awal, Anwar telah mengangkat agenda pendidikan rakyat, keadilan sosial serta suara umat tertindas dalam naratif dakwah dan pembangunan negara,” katanya.
Selain itu, katanya kepimpinan Anwar dalam menerajui ASEAN juga telah mendapat pengiktirafan banyak pihak dan Malaysia berjaya memperkukuh suara ASEAN sebagai gabungan negara yang berprinsip, berpandangan jauh serta menjadi jambatan strategik antara kuasa-kuasa besar.
Ahmad Fahmi berkata keupayaan Perdana Menteri mengemudi ASEAN dalam isu ekonomi inklusif, transformasi digital dan keamanan serantau telah mengangkat keyakinan pelabur serta memperlihatkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju pemikiran yang berwibawa di Asia Tenggara.
Anwar dinamakan sebagai tokoh Muslim paling berpengaruh ke-10 dalam edisi 2026 buku The World’s 500 Most Influential Muslims, yang diterbitkan oleh Pusat Kajian Strategik Diraja Islam (RISSC), Jordan.
Dalam penerbitan buku tersebut, Anwar disenaraikan antara 50 tokoh Muslim paling berpengaruh di dunia, bersama-sama tokoh lain seperti Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani yang menduduki tempat pertama, Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdul-Aziz Al-Saud (kelapan) dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto (15).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial