AM > BERITA

Selangor Lancar MetaSEL, Kumpul Data Inovasi Dan Penemuan Baharu 

30/10/2025 09:17 PM

SHAH ALAM, 30 Okt (Bernama) -- Kerajaan Selangor hari ini melancarkan Metamorphosis Selangor (metaSEL) iaitu inisiatif strategik bagi mendepani era baharu inovasi dan modenisasi pentadbiran di negeri ini.  

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata metaSEL merupakan pengumpulan data inovasi atau penemuan baharu yang diletakkan di bawah pemantauan kerajaan negeri.  

‎”metaSEL diwujudkan sebagai hab penggerak inovasi, teknologi, digitalisasi serta modenisasi pentadbiran negeri yang bertujuan menyatukan ekosistem inovasi dan digitalisasi di ‎bawah satu platform bersepadu bagi memperkukuh daya saing Selangor sebagai peneraju inovasi di Malaysia dan rantau Asia.

‎”Selaras dengan visi Negeri Pintar yang Maju dan Berdaya Huni, metaSEL akan menjadi jambatan antara dunia fizikal serta digital menghubungkan kerajaan, industri, akademia dan rakyat bagi ‎membentuk sebuah ekosistem inovasi yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Inovasi Negeri Selangor 2025 di sini hari ini, yang turut dihadiri Exco Agama dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Muhammad Fahmi Ngah serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Ahmad Fadzil Ahmad.

Amirudin berkata metaSEL merupakan manifestasi perubahan besar Selangor ke arah merealisasikan agenda negeri pintar yang inklusif serta berdaya saing dengan inovasi menjadi nadi kemajuan rakyat dan pentadbiran di bawah kerangka reformasi pentadbiran awam. 

‎Pada majlis sama, Amirudin turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) serta pertukaran surat persefahaman antara Pejabat SUK dan Selgem Sdn Bhd. 

‎Beliau berkata pertukaran dokumen itu tanda kerjasama untuk meneroka peluang perubahan inovasi melalui pelindungan harta intelek ke atas penciptaan inovasi dan penerokaan pengkomersialan produk inovasi sedia ada dihasilkan oleh kumpulan Inovasi dan Kreatif (KIK) di bawah pentadbirannya.

‎-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan