KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) hari ini buat julung kali menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Perjanjian Kerjasama Pertahanan, sekali gus menandakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan pertahanan dan keselamatan antara kedua-dua negara.
Majlis menandatangani MoU itu berlangsung selepas Mesyuarat Dua Hala antara Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Perang AS Pete Hegseth, yang diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus, di ibu negara bermula esok hingga 2 Nov.
Mohamed Khaled berkata MoU tersebut memformalkan kerjasama pertahanan yang sebelum ini dilaksanakan secara tidak rasmi melalui latihan bersama, pertukaran pegawai serta inisiatif peningkatan keupayaan di bawah program-program AS.
“Sebelum ini, kita tidak mempunyai satu rangka kerja yang khusus, formal dan berstruktur. Dengan perjanjian ini, kita boleh menyusun dan memastikan kerjasama ini berjalan dengan baik serta menepati keperluan pertahanan negara,” katanya kepada media selepas majlis itu, di sini.
Beliau berkata bahawa perjanjian itu yang lazimnya melibatkan tempoh lima tahun itu memberi tumpuan kepada pertukaran pegawai, peluang latihan serta bantuan bagi meningkatkan keupayaan pertahanan.
Menteri Pertahanan itu turut menegaskan bahawa pendekatan Malaysia dalam memperkukuh pertahanan negara bergantung kepada dua perkara utama iaitu, peruntukan kerajaan yang mencukupi bagi kesiagaan ketenteraan dan penggunaan diplomasi pertahanan secara berkesan.
“Diplomasi pertahanan bukan bermakna kita menerima ‘sedekah’. Ia adalah usaha bersama antara negara-negara untuk memperkukuh keupayaan pertahanan masing-masing. Lagi berkesan diplomasi kita, lebih ramai rakan negara yang mahu bekerjasama dengan kita,” katanya sambil menyifatkan perjanjian itu sebagai satu bentuk diplomasi pertahanan yang sangat berkesan.
Mohamed Khaled turut merakamkan penghargaan kepada AS, China serta negara-negara lain yang menyertai ADMM-Plus, sambil menegaskan peranan ASEAN sebagai platform dipercayai untuk berdialog walaupun terdapat perbezaan pandangan antara kuasa serantau dan global.
“ADMM-Plus kekal sebagai platform yang diyakini negara-negara, sama ada yang sealiran atau sebaliknya. Mereka boleh berkongsi pandangan dan bekerjasama bagi memastikan rantau ini terus aman, selamat dan bebas untuk pelayaran,” katanya.
Beliau berkata Malaysia mempunyai pelbagai perjanjian pertahanan dengan banyak negara lain, dan kerjasama seperti ini penting bagi sebuah negara kecil yang berdepan cabaran keselamatan serantau yang semakin kompleks.
“Kita sebuah negara kecil yang mungkin tidak mampu berdepan dengan cabaran besar secara bersendirian. Kehadiran dan kerjasama negara-negara lain membantu kita mengekalkan keseimbangan dan kestabilan di rantau ini,” katanya.
Mesyuarat ADMM ke-19 dan ADMM-Plus ke-12 akan bermula esok sehingga 2 Nov ini dengan penyertaan lapan rakan dialog, iaitu Amerika Syarikat, Rusia, Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter      : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok       : @bernamaofficial