KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dilantik sebagai media sokongan rasmi bagi "ASEAN Economy", sebuah penerbitan oleh SOMO Group yang bertujuan memperkukuh komunikasi dan pemahaman mengenai perkembangan ekonomi serantau serta dasar di seluruh Asia Tenggara.
SOMO Sdn Bhd dalam kenyataan memaklumkan penerbitan itu akan mengetengahkan struktur pasaran ASEAN, potensi pelaburan serta peluang kerjasama dengan penekanan khusus terhadap peranan strategik Malaysia sebagai penghubung antara China, Asia Selatan dan rantau ASEAN menerusi inovasi dasar serta peningkatan industri.
Menurut kenyataan itu, berdasarkan pengalaman Bernama sebagai agensi penyelaras bagi Pusat Media Antarabangsa (IMC) semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, agensi berita itu akan membantu “ASEAN Economy” dalam meningkatkan komunikasi rentas sempadan serta penyebaran kandungan berkaitan dasar.
Mengulas mengenai kerjasama itu, Pengarah Hal Ehwal Media dan Komunikasi SOMO Group Annie Kang berkata penglibatan Bernama bukan sahaja merupakan pengiktirafan, malah menjadi pemangkin utama di sebalik inisiatif berkenaan.
“Ini bukan sekadar kerjasama, tetapi penciptaan bersama. Dengan menyelaraskan media bersama institusi rasmi, kami berhasrat menterjemahkan visi dasar ASEAN ke dalam tindakan sebenar, memperkasakan usahawan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengenal pasti peluang serta mencipta nilai,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Penerbitan SOMO Thor Poh Ni berkata “ASEAN Economy” sebagai sebahagian daripada siri Global Connect oleh SOMO, bertujuan untuk melengkapkan pembaca dan pemimpin perniagaan dengan pemahaman yang lebih mendalam mengenai ekosistem ekonomi negara-negara anggota ASEAN.
Menyambut baik inisiatif itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dalam kenyataan yang sama berkata kerjasama berkenaan dijangka memperkukuh dialog antara sektor korporat, media dan dasar.
“Saya berharap penerbitan ini akan menggalakkan lebih banyak usaha untuk menerbitkan karya mengenai ekonomi Malaysia, negara jiran dan rakan dialognya. Bagi pihak Bernama, kami sentiasa bersedia memberikan sokongan melalui kandungan kami, terutamanya dalam penulisan berita ekonomi,” katanya.
ASEAN Economy dijadual diterbitkan pada November 2025, diikuti siri majlis pelancaran dan forum di negara-negara ASEAN yang melibatkan para pelabur, pembuat dasar, penyelidik serta komuniti perniagaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter      : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok       : @bernamaofficial