AM > BERITA

RMK13: 44 Projek Air Dan Pembetungan Diluluskan Untuk Sarawak - Fadillah

31/10/2025 10:34 PM

KUCHING, 31 Okt (Bernama) -- Sebanyak 44 projek pembangunan sektor air dan pembetungan bernilai hampir RM6 bilion, diluluskan untuk dilaksanakan di Sarawak di bawah Rancangan Boleh Pinda Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata daripada jumlah itu, 11 merupakan projek baharu manakala 33 lagi projek sambungan yang memberi tumpuan kepada tebatan banjir, pemuliharaan sungai, hakisan pantai, bekalan air serta sistem pembetungan.

“Bagi tahun 2026, kerajaan memperuntukkan RM195.6 juta untuk projek air dan pembetungan di Sarawak, iaitu peningkatan lebih 53 peratus berbanding tahun 2025,” katanya berucap pada Malam Media Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) 2025 Sarawak di sini, malam ini.

Fadillah berkata sebanyak 27 projek bernilai RM172.4 juta dibiayai Kerajaan Persekutuan manakala 17 projek lagi melibatkan pinjaman berjumlah RM23.24 juta.

Beliau berkata selain itu, di bawah Rancangan Tebatan Banjir Nasional, kerajaan memperuntukkan RM24.7 bilion, bagi pelaksanaan projek tebatan banjir di seluruh negara termasuk di Sarawak, dalam usaha mengurangkan risiko dan kesan bencana banjir terhadap komuniti setempat.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan turut menumpukan pelaksanaan Program Air Tidak Terhasil (NRW) dengan peruntukan RM2.5 bilion dari 2025 hingga 2030, bagi menggantikan paip kritikal dan mengurangkan kadar kehilangan air di seluruh negara.

“Bagi Sarawak, inisiatif seperti menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Nyabau di Bintulu, pembinaan LRA Landeh di Kuching serta penambahbaikan sistem agihan paip di kawasan luar bandar dijangka meningkatkan kecekapan dan kualiti bekalan air kepada rakyat,” katanya.

Fadillah berkata projek-projek itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur asas air dan pembetungan, seterusnya memastikan kesejahteraan serta keselamatan penduduk terus terjamin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan