PUTRAJAYA, 31 Okt (Bernama) -- Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 membabitkan 413,372 calon akan bermula Isnin ini (3 Nov) hingga 23 Dis di 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Ujian Bertutur Bahasa Melayu akan berlangsung pada 3 hingga 6 Nov manakala Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 10 hingga 13 Nov.
“Ujian Amali Sains pula akan berlangsung pada 17 hingga 19 Nov, Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris diadakan pada 20 Nov.
“Peperiksaan bertulis pula akan berlangsung pada 25 Nov hingga 23 Dis ini,” menurut kenyataan itu.
KPM memaklumkan 127,526 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.
Menurut kenyataan itu, semua calon diingatkan merujuk jadual waktu peperiksaan SPM 2025 bagi mengetahui maklumat lengkap tarikh, waktu, kod dan nama kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.
Jadual waktu peperiksaan juga boleh dimuat turun melalui portal rasmi Lembaga Peperiksaan (LP) di pautan lp.moe.gov.my.
Menurut KPM, calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Penyata Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan serta mematuhi semua prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan.
“KPM cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana dan penularan Penyakit Seperti Influenza (ILI) sepanjang peperiksaan SPM Tahun 2025 berlangsung," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, KPM memaklumkan pihaknya siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi lain yang berkaitan.
“Calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya terlibat atau terkesan dengan bencana. Mereka juga boleh menghubungi bilik gerakan LP dan JPN di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.
KPM menegaskan akan terus melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM 2025 dilaksanakan dengan lancar dan teratur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter      : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok       : @bernamaofficial