KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Program Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025 anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjaya meraih kutipan deposit mencecah RM222.29 juta, lebih tinggi daripada sasaran awal sebanyak RM220 juta.
Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata program utama yang memasuki tahun kelapan penganjuran iaitu sejak 2018, bertujuan menyemai budaya menabung dalam kalangan masyarakat serta mempromosikan Simpan SSPN (Skim Simpanan Pendidikan Negara) sebagai produk simpanan pilihan.
“PTPTN kekal optimis bahawa jumlah kutipan deposit BMS 2025 akan terus meningkat dan mencatatkan prestasi lebih memberangsangkan.
“Pencapaian ini amat membanggakan dan jelas membuktikan bahawa BMS 2025 merupakan program berimpak tinggi dalam menggalakkan budaya amalan menabung dalam kalangan masyarakat kita,” katanya dalam ucapan perasmian pada Majlis Penutup BMS 2025 di sini hari ini.
Bertemakan “Pengembaraan” dan mengekalkan slogan “Jom Jadi Superhero Anak Anda”, program itu berlangsung dari 26 Sept lepas hingga esok.
Dalam pada itu, Norliza berkata melalui Simpan SSPN pendeposit berpeluang menyertai kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025 yang menawarkan hadiah lumayan berjumlah RM1.5 juta kepada 550 pemenang bermula 1 Jan lepas hingga 31 Dis ini.
Selain itu, Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan hingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan hingga RM10,000 secara percuma bagi satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, patuh syariah dan simpanan yang dijamin kerajaan.
Majlis Penutup BMS 2025 hari ini turut menyaksikan pelancaran Kad Debit-i Bank Islam Visa PTPTN dengan kerjasama Bank Islam yang membolehkan pelanggan menikmati pulangan tunai apabila menggunakan kad tersebut untuk pembelian runcit dan atas talian dalam transaksi domestik serta luar negara.
Pelanggan yang membuat simpanan dalam Simpan SSPN dan membuat pembayaran balik pinjaman PTPTN menggunakan kad berkenaan turut berpeluang menikmati pulangan tunai yang boleh dipindahkan ke akaun Simpan SSPN sebagai simpanan atau akaun pinjaman sebagai bayaran balik.
Sementara itu, pelbagai aktiviti menarik disediakan pada penutup program BMS 2025, antaranya pertandingan mewarna dan pertandingan Simpan SSPN ‘Got Talent’, selain kaunter PTPTN yang dibuka kepada orang ramai menawarkan tabung edisi khas BMS dan cenderahati eksklusif melalui penabungan dalam Simpan SSPN.
Juara pertandingan Simpan SSPN ‘Got Talent’ kategori tahap dua (10-12 tahun), Putri Qayla Qaleesya Nur Firdaus, 11, berkata amalan menabung sangat penting dan wang yang disimpan perlu digunakan untuk perkara yang bermanfaat.
“Kalau menabung kita boleh guna duit ini untuk perkara yang penting dan jangan beli benda yang tidak berfaedah. Wang hadiah kemenangan ini pun sebahagiannya saya nak beri pada mak dan bakinya saya simpan,” katanya yang membawa pulang wang tunai RM150 menerusi persembahan nyanyian lagu ‘Gurindam Jiwa’.
Pengunjung, Kelly Chieng, 52, pula berkata BMS 2025 merupakan satu program yang baik untuk masa hadapan anak-anak dan program hari ini telah memberinya banyak pendedahan dan manfaat.
“Sebenarnya saya sudah tahu berkenaan BMS ini sejak lima tahun lepas cuma hari ini baru berpeluang buka akaun dan banyak keistimewaan yang saya dapat. Kita boleh dapat pelepasan taksiran cukai dan ada dividen juga,” katanya ketika ditemui pemberita.
Bagi Anthony Ng Huey Cherng, 41, pelepasan cukai yang diberikan adalah sangat berbaloi dan amalan menabung adalah lebih baik daripada berbelanja semata-mata.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial