AM > BERITA

Bekerja Memotong Daging Di Singapura, Muhammad Samzuri Kini Miliki Banglo Idaman

02/11/2025 12:36 PM

Daripada Durratul Ain Ahmad Fuad

SINGAPURA, 2 Nov (Bernama) -- Berbekalkan semangat tinggi untuk mengubah nasib keluarga Muhammad Samzuri Ramle sanggup meninggalkan kampung halaman di Kelantan, merantau ke Singapura demi mencari rezeki buat insan yang disayangi. 

Di sebalik keringat dan penat lelah tersimpan tekad seorang anak, suami dan ayah yang ingin melihat keluarganya hidup selesa.

Kini segala pengorbanan itu terbayar apabila dia berjaya mendirikan sebuah banglo idaman di tanah kelahirannya menerusi hasil wang simpanan dan tanpa sebarang pinjaman bank.

Bekerja sebagai pemotong daging kambing di kedai M.A. Osman berhampiran Pusat Tekka, di sini sejak 2018, Muhammad Samzuri, 31, memperoleh pendapatan sekitar SGD 2,500 sebulan (kira-kira RM8,000) sekali gus mampu menyimpan kira-kira RM3,000 setiap bulan.

“Di Malaysia agak sukar untuk dapat gaji tinggi dan komitmen pun banyak. Saya pula tidak ada pelajaran tinggi, jadi kena usaha lebih. Alhamdulillah, sekarang bukanlah kaya tapi cukup makan, mampu menyara keluarga dan menyimpan untuk siapkan rumah,” katanya kepada Bernama.

Hasil simpanan yang dikumpul selama beberapa tahun itu membolehkan dia menyiapkan sebuah banglo bernilai RM200,000 di atas tanah miliknya sendiri di Kelantan, dengan pembinaan kediaman itu bermula sejak 2020 dan telah siap sepenuhnya tahun ini.

Meskipun hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Samzuri percaya bahawa disiplin, kesungguhan dan kerja keras mampu mengubah nasib diri dan keluarga.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu menetap di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, Johor, dan berulang-alik ke Singapura setiap hari menaiki motorsikal untuk bekerja dari Selasa hingga Ahad bermula 6 pagi hingga 5 petang.

Ketika pandemik COVID-19, dia terpaksa tinggal di Singapura selama beberapa bulan dengan menyewa bilik berharga SG$450 sebulan, namun tetap cekal meneruskan kerja demi keluarga di tanah air.

“Memang rindu keluarga waktu itu tapi saya harus kuat bekerja demi kelangsungan hidup dan keluarga,” katanya.

Kisah hidup Muhammad Samzuri menjadi bukti bahawa rezeki tidak datang bergolek, sebaliknya menuntut pengorbanan dan keazaman yang tidak pernah luntur.

-- BERNAMA

 

  • Penulis merupakan Felo bagi Kumpulan 2025 Asia Journalism Fellowhship, yang dianjurkan oleh Institute of Policy Studies di National University of Singapore dengan kerjasama Yayasan Temasek.


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan