AM > BERITA

Kembara Jom Bukan Bermotif Politik, Buka Ruang Golongan Muda Berdialog - Adam Adli

02/11/2025 05:43 PM

SLIM RIVER, 2 Nov (Bernama) -- Program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) yang dianjurkan di seluruh negara adalah platform khusus untuk golongan muda berdialog dengan semua pihak secara sihat dan seimbang, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim.

Beliau berkata program yang tidak bermotifkan politik itu mewujudkan ruang selamat dan inklusif bagi anak muda berinteraksi secara terus dengan pemimpin, wakil agensi kerajaan serta pihak berkepentingan dalam membincangkan isu-isu semasa secara matang.

Adam Adli berkata program itu juga sebagai wadah mendekati golongan muda, mendengar pandangan mereka serta memahami isu sebenar yang dihadapi generasi pelapis negara.

“Dalam setiap siri Kembara JOM, sesi libat urus akan diadakan sebagai wadah dialog terbuka malah kita menjemput wakil pelbagai pihak, bukan sahaja daripada kerajaan tetapi juga daripada pembangkang.

"Jika sesuatu isu melibatkan kawasan yang ditadbir oleh parti tertentu, wakil daripada pihak itu turut dijemput supaya perbincangan berlangsung secara adil dan seimbang,” katanya ketika ditemui pada Kembara JOM 2.0 Zon Tengah di Dewan Semai Bakti Felda Gunung Besout 3, dekat Sungkai hari ini.

Adam Adli berkata inisiatif seperti itu mencerminkan semangat demokrasi sebenar yang mahu diterapkan dalam kalangan anak muda, dengan memberi peluang kepada mereka untuk terlibat secara aktif dalam proses pembuatan keputusan berkaitan isu masyarakat dan negara.

“Kita tidak mahu meneruskan pendekatan lama yang berbentuk top-down, iaitu keputusan hanya ditentukan di peringkat atas.

"Sebaliknya, kita mahu membina budaya baharu berasaskan keberanian rakyat, iaitu suara dan pandangan anak muda diambil kira malah inilah semangat demokrasi yang kita ingin hidupkan,” katanya.

Beliau berkata pendekatan dialog terbuka itu juga berperanan penting dalam mendidik pengundi muda selepas pelaksanaan Undi18 pada 2019, yang menyaksikan jutaan belia kini layak mengundi.

“Tiada program transisi politik yang benar-benar menyeluruh diwujudkan bagi mempersiapkan anak muda memainkan peranan mereka sebagai pengundi dan pembuat keputusan.

"Maka, inisiatif seperti Kembara JOM inilah yang mengisi ruang tersebut malah kita tumpu kepada pembinaan kapasiti dan karakter anak muda agar lebih berkeyakinan, berani bersuara serta mampu berfikir secara kritis dalam menghadapi cabaran semasa,” katanya.

Program Kembara JOM 2.0 Zon Tengah yang berlangsung selama tiga hari bermula 31 Okt lepas, menghimpunkan ratusan belia dari seluruh Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan bagi menyertai pelbagai aktiviti termasuk dialog, bengkel, serta pameran peluang kerjaya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan