AM > BERITA

Peguam Peroleh PhD Pada Usia 85 Tahun

02/11/2025 05:59 PM

KUALA NERUS, 2 Nov (Bernama) -- Ketabahan dan semangat kental Datuk Dr Victor Isaacs, 85, membuahkan hasil apabila beliau berjaya menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) selepas enam tahun.

Victor yang juga peguam berpengalaman membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk menimba ilmu apabila beliau berjaya memperoleh PhD pertamanya dalam bidang undang-undang sekali gus menjadi inspirasi kepada orang ramai khususnya golongan muda untuk terus berusaha mencapai kejayaan.

Beliau berkata tesis yang dihasilkan mengupas pengaruh golongan profesional terhadap penggubalan undang-undang berkaitan eutanasia di Malaysia yang disifatkan antara cabaran terbesarnya kerana menyentuh isu sensitif melibatkan aspek perundangan dengan etika perubatan.

“Dalam konteks undang-undang kita, tindakan mencabut alat sokongan hayat pesakit dianggap satu kesalahan dan sebab itu saya mencadangkan supaya UniSZA menubuhkan rumah penjagaan paliatif di dalam kampus bagi membantu pesakit tenat mendapatkan rawatan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA, di sini hari ini.

Beliau berkata inisiatif sedemikian penting bagi memastikan pesakit yang sudah tidak dirawat di hospital masih mendapat penjagaan dan pemantauan berterusan.

“Sekiranya kerajaan tidak mampu menyediakan kemudahan itu di setiap negeri, hospital swasta boleh diberi peluang mengambil alih. Pesakit yang berkemampuan boleh menanggung kos sendiri manakala kerajaan negeri boleh membantu mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran sepanjang menyiapkan pengajian, Victor mengakui faktor usia menjadi halangan utama namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk menyiapkan tesis tersebut.

"Walaupun berdepan kehilangan isteri enam tahun lalu, saya tetap meneruskan perjuangan akademik dengan tekad baharu,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi graduan, Dr Zamri Chik, 59, kini bersiap sedia untuk menyambung pengajian PhD kali ketiga selepas menamatkan dua pengajian terdahulu dalam bidang pendidikan di UniSZA.

Zamri yang juga bekas pegawai penyelidikan di Institut Strategik dan Integriti (TSIS) itu berkata perjalanan akademiknya bukan bertujuan mengejar gelaran sebaliknya ingin membantu pelajar dan penyelidik lain bukan sahaja di Terengganu malah dari luar negara termasuk Jordan, Nigeria dan Palestin.

“Orang selalu tanya kenapa buat dua PhD. Sebenarnya daripada PhD kedua inilah saya banyak membantu pelajar buat analisis kajian.

“Niat saya bukan nak kejar nama tetapi nak bantu mana-mana pelajar yang perlukan tunjuk ajar,” katanya sambil menambah minatnya terhadap dunia akademik semakin mendalam apabila setiap kali menamatkan pengajian, rasa ingin tahu dan semangat untuk terus belajar semakin meningkat.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan