AM > BERITA

1,500 Pelajar Pra-U Di Terengganu Sertai Kongres Pra-U 2025

02/11/2025 07:00 PM

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Sebanyak 1,500 pelajar Pra-Universiti dari seluruh sekolah di Terengganu telah memeriahkan Kongres Pra-U 2025 dan Majlis Apresiasi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 yang berlangsung di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai, Marang hari ini.

Program anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri itu menyaksikan 110 pelajar Pra-Universiti menerima pengiktirafan atas kecemerlangan akademik dan kepimpinan mereka.

Menurut kenyataan AKM, selain pelajar Tingkatan Enam, program itu turut mendapat sambutan menggalakkan daripada guru dan ibu bapa yang hadir memberikan sokongan moral kepada penerima anugerah.

Antara pengisian utama program ialah sesi amanat inspirasi, majlis penyampaian sijil penghargaan kepada pelajar cemerlang STPM 2024 serta sesi interaksi jaringan kepimpinan pelajar Pra-U dari seluruh negeri.

"Sebanyak 27 anugerah khas turut disampaikan kepada pelajar terbaik STPM 2024 sebagai mengiktiraf kecemerlangan mereka," menurut kenyataan itu. 

Menurut kenyataan itu, penganjuran program sedemikian dilihat berjaya mencapai objektif dengan penyertaan aktif para pelajar yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap usaha memperkukuh nilai kepimpinan dan jati diri.

"AKM berharap Kongres Pra-U dan Majlis Apresiasi STPM ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan modal insan berkualiti, berilmu dan patriotik dalam kalangan pelajar Tingkatan Enam di Terengganu," menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, Ketua Pengarah AKM Datuk Roslan Hussin dalam ucapan perasmiannya berkata pelajar Pra-U bukan sekadar pelajar akademik, tetapi pemimpin masa depan. 

"Teruskan perjuangan menimba ilmu, pupuk nilai kepimpinan dan semangat cinta akan negara. Jadilah generasi yang membawa Terengganu dan Malaysia ke arah kecemerlangan,” katanya dalam kenyataan sama. 

Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Kamsah@Kamal Mohamed pula melahirkan rasa bangga atas pencapaian pelajar seterusnya menyeru mereka agar terus berusaha menjadi insan berwibawa dan berdaya saing.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan