AM > BERITA

Yang di-Pertuan Agong Berangkat Ke Arab Saudi Untuk Lawatan Negara

03/11/2025 10:52 AM

SUBANG, 3 Nov (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat ke Arab Saudi pagi ini untuk Lawatan Negara bermula hari ini hingga 6 Nov dalam kesinambungan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dengan pelbagai negara luar demi kepentingan dan manfaat rakyat serta negara.

Seri Paduka Baginda dijadual meneruskan Lawatan Negara ke Bahrain pada 6 Nov.

Lawatan itu mencatat sejarah sebagai Lawatan Negara pertama Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi sejak kali terakhir dilaksanakan oleh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah pada 1984.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia di sini pada 9 pagi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof hadir untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Sultan Ibrahim.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Sebelum berangkat, Sultan Ibrahim menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat diketuai Mejar Muhammad Fikri Senan dengan diiringi tembakan meriam 21 das dan lagu Negaraku.

Semasa di Riyadh, Seri Paduka Baginda dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud di Istana Yamamah.

Keberangkatan Sultan Ibrahim ke Arab Saudi dan Bahrain akan diiringi paduka anakanda Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, serta Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Menteri Pengiring. 

Selesai lawatan di Arab Saudi, Yang di-Pertuan Agong akan berangkat ke Bahrain atas persilaan Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa bagi Lawatan Negara yang julung-julung kali diadakan sejak hubungan diplomatik Malaysia-Bahrain terjalin pada 1974.

Sultan Ibrahim dan Raja Hamad menjalin persahabatan akrab sejak sekian lama, dengan Seri Paduka Baginda berkenan mengadakan lawatan rasmi ke Bahrain pada 2017 ketika menjadi Sultan Johor manakala Raja Hamad berkenan berangkat ke Kuala Lumpur pada 2024 bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan