KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keyakinan bahawa Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Arab Saudi dan Bahrain akan membawa limpahan manfaat serta pulangan yang terbaik buat rakyat dan negara.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar merafak sembah dan menjunjung kasih atas keberangkatan Seri Paduka Baginda bagi memulakan Lawatan Negara ke dua negara berkenaan.
Beliau turut mendoakan agar keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan delegasi dirahmati Allah SWT serta dikurniakan keselamatan, kesejahteraan dan kejayaan sepanjang lawatan tersebut.
“Patik mohon ampun kerana tidak dapat bersama mengiringi keberangkatan Tuanku atas kekangan urusan kesihatan yang tidak mengizinkan,” katanya.
Sultan Ibrahim berangkat ke Arab Saudi pagi ini untuk Lawatan Negara bermula hari ini hingga 6 Nov dalam kesinambungan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dengan pelbagai negara luar demi kepentingan dan manfaat rakyat serta negara.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang pada 9 pagi.
Yang di-Pertuan Agong dijadual meneruskan Lawatan Negara ke Bahrain pada 6 Nov.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial