AM > BERITA

PETRA Mohon Pelaksanaan Projek Tebatan Banjir Menerusi Kaedah NBS

03/11/2025 12:19 PM

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah mengemukakan permohonan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi pelaksanaan projek tebatan banjir menerusi kaedah berasaskan alam semula jadi (NBS). 

Timbalan Menteri berkenaan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata permohonan itu melibatkan penyediaan kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk konsep berasaskan pemodelan saintifik yang boleh diguna pakai agensi teknikal.

Beliau berkata Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dengan kerjasama pakar Belanda melalui Dutch Disaster Risk Reduction and Surge Support Programme (DRRS) telah melaksanakan libat urus dan kajian keberkesanan pelaksanaan NBS sejak Mac 2024 hingga Jun lepas.

“Kajian ini merangkumi strategi pengurusan endapan sungai dan penggunaan sistem NAHRIM Environmental Dredging System (NEDS) bagi kawalan sedimen, pemodelan konsep bandar serapan banjir (sponge city), pembangunan penderia tempatan selaras dengan strategi Transformasi Sektor Air (AIR 2040) dan pelaksanaan penuaian air hujan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Akmal Nasrullah berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) tentang langkah strategik PETRA bagi memastikan infrastruktur hijau dan penyelesaian alam semula jadi diterapkan dalam projek tebatan banjir agar lebih kos efektif, berdaya tahan dan memberikan manfaat langsung kepada rakyat.

Beliau berkata pendekatan NBS bukanlah baharu kerana telah lama diterapkan dalam pembangunan infrastruktur seperti empangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang bukan sahaja berfungsi sebagai mitigasi banjir, tetapi juga sebagai sumber bekalan air dan pengairan pertanian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan