Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- TRX City Sdn Bhd menyasarkan untuk membangunkan bakat global dalam hab kewangan utama Malaysia melalui kerjasamanya dengan Monash University Malaysia untuk membina kampus baharu di Tun Razak Exchange (TRX).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmar Talib berkata kerjasama itu melambangkan penyelarasan strategik antara pendidikan dan industri yang akan memperkukuh kedudukan TRX sebagai pusat kewangan antarabangsa bertaraf dunia.
“Kehadiran Monash menyokong visi TRX untuk menjadi pusat kewangan antarabangsa bertaraf dunia,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.
TRX City Sdn Bhd merupakan anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan dan pemaju induk Tun Razak Exchange (TRX), daerah kewangan antarabangsa negara di sini.
Di bawah kerjasama dengan Monash University Malaysia, TRX City akan mereka bentuk, membina dan membiayai pembinaan kampus itu di tapak seluas 2.02 hektar di TRX North, meliputi kira-kira 1.6 juta kaki persegi ruang akademik dan penginapan pelajar, menjadikan jumlah keseluruhan kawasan binaan hampir dua juta kaki persegi.
Monash University Malaysia akan menyewa kampus itu untuk tempoh permulaan selama 30 tahun, dengan pembinaan dijangka bermula tahun depan dan siap antara 2031 dan 2032.
Azmar berkata perniagaan utama Monash University Malaysia, fakulti undang-undang dan teknologi maklumat akan melengkapkan ekosistem TRX City, yang kini menempatkan lebih 30,000 pekerja berpengetahuan dan institusi kewangan global.
Beliau berkata sebagai pusat kewangan antarabangsa, TRX City dijangka membangunkan kumpulan bakat yang diperlukan untuk menyokong institusi global yang mewujudkan operasi mereka di daerah itu dan adanya bakat sedemikian akan menjadi faktor utama untuk mempengaruhi keputusan berkaitan pelaburan dan lokasi.
Azmar turut menekankan bahawa strategi pembangunan TRX City kekal tertumpu pada pewujudan nilai dan kemampanan jangka panjang.
“Mandat kami ialah mewujudkan nilai komuniti yang memacu perubahan, nilai sosial dan nilai komersial yang tinggi,” katanya.
Berpusat di Australia, Monash University menubuhkan kampus luar pertamanya di Malaysia pada 1998, bermula dengan 417 pelajar.
Sebelum ini, universiti itu berkongsi kampus dengan Sunway College. Hari ini, Monash University Malaysia merupakan kampus ketiga terbesar institusi tersebut, dengan lebih 11,000 pelajar dari lebih 80 negara.
Bakal dibuka pada 2032, kampus baharu Monash University Malaysia di TRX akan menampung sehingga 22,500 pelajar dan 1,700 kakitangan menjelang 2040.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial