AM > BERITA

Fasa Percubaan Pertama Tren RTS Dijangka Mula Disember Ini - Loke

03/11/2025 05:09 PM

JOHOR BAHRU, 3 Nov (Bernama) -- Fasa percubaan pertama tren bagi Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura dijangka bermula Disember ini, namun belum melibatkan penumpang, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata tren-tren RTS berkenaan dijangka tiba di Depoh Wadi Hana pada pertengahan November ini.

“Dalam tempoh dua minggu lagi, tren pertama akan dihantar dan dinaikkan ke depoh. Jika mengikut jadual, orang ramai akan dapat melihat pergerakan tren pada Disember nanti bagi fasa percubaan pertama.

“Bagaimanapun, tren tersebut belum lagi dibuka kepada penumpang kerana masih terdapat beberapa proses penting yang perlu dilaksanakan, termasuk integrasi sistem dan ujian-ujian keselamatan sebelum operasi penuh dimulakan,” katanya.

Loke berkata demikian selepas melawat tapak Projek RTS Link di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQC) di Bukit Chagar di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan struktur Stesen Bukit Chagar dan bangunan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) dari segi kerja-kerja struktur telah siap sepenuhnya.

“Tiga komponen utama projek ini menunjukkan kemajuan positif, iaitu Depoh RTS Link siap 91 peratus, Stesen Bukit Chagar (73 peratus) dan Kompleks CIQ (76.8 peratus),” katanya.

Loke berkata sasaran untuk menyiapkan projek RTS Link yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands North di Singapura itu masih kekal, iaitu menjelang 31 Dis 2026 bagi membolehkan operasi penuh dimulakan pada Januari 2027.

“Projek ini merupakan usaha besar dan kompleks yang melibatkan dua negara. Saya akan terus memantau kemajuannya setiap tiga bulan bagi memastikan segala cabaran dapat diselesaikan dengan berkesan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RTS Operations Pte. Ltd. (RTSO) Dr. Ahmad Marzuki Ariffin berkata kerja-kerja sistem dan operasi bagi Projek Rapid Transit System (RTS) Link kini mencapai kemajuan sebanyak 65 peratus dan berjalan mengikut jadual ditetapkan.

Sistem berkenaan kini berada dalam fasa penting dengan ketibaan tren pertama di Wadi Hana dijangka pertengahan bulan ini.

“Tren pertama akan dibawa masuk dari Singapore Rail Test Track dan tiga lagi set tren yang kini berada di Batu Gajah akan dibawa ke depot RTS di Johor Bahru dalam November ini dan secara keseluruhan projek tersebut melibatkan lapan set tren, masing-masing terdiri empat gerabak.

“Progres projek ini berada pada landasan yang betul kerana koordinasi dan pemantauan kerja antara kedua-dua kerajaan, Malaysia dan Singapura amat rapat. Ini membolehkan projek disiapkan mengikut tarikh ditetapkan,” katanya.

Loke berkata setakat ini tiada isu yang menjejaskan jadual pelaksanaan projek, dengan semua pihak termasuk Malaysia dan Singapura memberikan kerjasama penuh bagi memastikan kelancaran kerja-kerja sistem.

Mengulas mengenai uji pandu, beliau berkata ujian fault-free run dijangka dilaksanakan pada Julai tahun hadapan selepas semua ujian integrasi sistem selesai.

“Julai hingga Disember 2026 akan menjadi tempoh penting untuk pelaksanaan ujian menyeluruh melibatkan pelbagai agensi termasuk kastam, imigresen dan keselamatan kedua-dua negara,” katanya.

Beliau turut memaklumkan proses ketibaan tren akan dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan keselamatan di tapak, memandangkan setiap tren seberat kira-kira 40 tan akan diangkat ke tingkat tiga depot RTS.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan