AM > BERITA

Malaysia Boleh Tamatkan Perjanjian Timbal Balas Dengan AS Bila-bila Masa – AGC

03/11/2025 09:45 PM

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Malaysia mempunyai hak untuk menamatkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) pada bila-bila masa melalui pemberitahuan bertulis, menurut Jabatan Peguam Negara (AGC). 

Menurut kenyataan AGC, penamatan perjanjian itu boleh dilakukan tanpa memerlukan persetujuan AS, berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 7.5 ART, yang bertujuan mempertahankan dan memelihara kedaulatan Malaysia serta melindungi kepentingan negara pada setiap masa.

“Artikel 7.2 ART memperuntukkan bahawa perjanjian tersebut hanya akan berkuat kuasa 60 hari selepas kedua-dua pihak bertukar pemberitahuan bertulis yang mengesahkan bahawa tatacara perundangan domestik berkaitan telah selesai dilaksanakan.

“Pelaksanaan kewajipan dan komitmen di bawah perjanjian ini oleh Malaysia adalah tertakluk kepada undang-undang dan tatacara domestik Malaysia yang terpakai,” menurut AGC.

Menurut AGC, ART juga memperuntukkan rundingan dengan suci hati antara Malaysia dan AS berhubung isu pelaksanaan sebelum mana-mana pihak boleh mengambil tindakan terhadap pihak satu lagi.

“Bagaimanapun, berdasarkan Artikel 7.1, Malaysia dan AS sebagai negara anggota Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) akan terus mengiktiraf hak, kewajipan masing-masing serta perlindungan yang diperuntukkan di bawah perjanjian WTO bagi perdagangan antarabangsa,” menurut AGC.

Malaysia dan AS menandatangani ART pada 26 Okt lepas semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Perjanjian itu merupakan cadangan AS bagi merunding semula tarif terhadap Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus, di bawah Executive Order 14257 yang dikeluarkan Presiden Donald Trump pada 2 April 2025.

Rundingan berkenaan diketuai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi pihak Malaysia manakala AS diwakili Office of the United States Trade Representative.

MITI turut melibatkan kementerian dan agensi berkaitan dalam rundingan itu dan keputusan dasar berhubung ART telah dibuat oleh Jemaah Menteri selepas mengambil kira aspek ekonomi, politik dan perundangan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan