PUTRAJAYA, 4 Nov (Bernama) -- Skim kelayakan berperingkat di bawah program subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi pemandu e-panggilan akan diaktifkan pada pertengahan setiap bulan, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Langkah itu sebahagian daripada penambahbaikan yang diperkenalkan Kerajaan MADANI bagi memastikan penyaluran subsidi dilaksanakan dengan lebih saksama dan terangkum sekali gus memelihara mata pencarian pemandu e-panggilan serta teksi lapangan terbang.
“Bagi pemandu e-panggilan, tahap kelayakan tambahan BUDI95 akan ditentukan berdasarkan jarak perjalanan yang direkodkan dalam sistem syarikat pengendali e-penggilan (EHO) pada bulan sebelumnya.
“Mereka yang memandu kurang daripada 2,000 kilometer (km) akan menikmati 300 liter asas, manakala jarak 2,000 hingga 5,000 km layak menerima tambahan 300 liter (jumlah keseluruhan 600 liter),” menurut kenyataan MOF hari ini.
Pemandu yang melebihi 5,000 km pula akan menerima tambahan 500 liter, menjadikan keseluruhan 800 liter sebulan.
Data jarak perjalanan akan disahkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Sabah dan Sarawak berdasarkan laporan bulanan daripada EHO.
“Penetapan nilai ambang baharu diturunkan daripada 3,000 km kepada 2,000 km serta penambahan kategori melebihi 5,000 km dibuat selepas kajian oleh MOF terhadap corak perjalanan dan penggunaan sebenar subsidi pemandu e-panggilan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, bagi pemandu teksi lapangan terbang, syarikat pengendali boleh memohon kad flit di bawah Skim Kawalan Petrol dan Diesel Subsidi kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi menikmati hingga 800 liter RON95 bersubsidi setiap bulan.
Bagaimanapun, limousin lapangan terbang yang tidak dikawal selia kadar tambangnya oleh APAD tidak layak memohon di bawah skim berkenaan.
Maklumat lanjut berhubung kriteria tambahan BUDI95 akan diumumkan oleh APAD dan LPKP, manakala permohonan kad flit boleh dibuat melalui portal https://mysubsidi.kpdn.gov.my.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata kerajaan bersetuju meningkatkan had kelayakan BUDI95 bagi pemandu e-panggilan yang layak hingga 800 liter sebulan, tertakluk syarat perjalanan ditetapkan.
Anwar berkata keputusan itu dibuat setelah kerajaan meneliti rayuan pemandu e-panggilan berdasarkan kegunaan sebenar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial