AM > BERITA

Lebih 1,000 Permohonan Tanah Kerajaan Sedang Diproses Kelulusan

04/11/2025 04:31 PM

ALOR GAJAH, 4 Nov (Bernama) -- Kerajaan Melaka melalui pihak berkuasa negeri sedang mempertimbangkan untuk meluluskan 1,110 Permohonan Tanah Kerajaan (PTK) yang diterima sejak tahun 2023, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata sehingga kini masih banyak permohonan diterima, manakala proses penilaian dilakukan dengan ketat berdasarkan kelayakan pemohon untuk memiliki tanah tersebut, kerana antara syaratnya ialah belum pernah memiliki tanah lagi.

“Ini salah satu komitmen kerajaan negeri untuk memberikan peluang kepada rakyat yang tidak memiliki tanah untuk mendapat tanah hak sendiri,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Persimpangan Bulatan Pantai Belimbing dan Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Permohonan Tanah Kerajaan, sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, di persimpangan Bulatan Pantai Belimbing di sini hari ini. 

Ab Rauf berkata bagi tahun 2025, sebanyak 263 permohonan diterima dengan 163 PTK di Daerah Alor Gajah diluluskan, disusuli Notis 5A yang dikeluarkan oleh Pentadbir Tanah. 

“Seperti hari ini sebanyak 16 surat kelulusan bagi PTK diserahkan kepada penerima yang telah berjaya melalui proses penilaian dan saya percaya, penerima PTK yang diraikan hari ini akhirnya dapat menarik nafas lega, apabila impian untuk memiliki tanah sendiri kini menjadi kenyataan,” katanya.

Ab Rauf berkata daripada jumlah itu, 14 penerima melibatkan tanah rizab kereta api di Kampung Gangsa Belimbing dan Parit Melana, dua penerima agensi iaitu Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi tapak pembinaan Masjid Taman Vista Belimbing, serta Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bagi tapak depot kenderaan dan logistik.

Beliau berkata kerajaan negeri juga telah menetapkan kadar bayaran yang jauh lebih rendah kepada para penerima Permohonan Tanah Kerajaan Rizab Keretapi (KTM), iaitu hanya antara RM11,000 hingga RM49,000 bergantung kepada keluasan tanah masing-masing.

“Keputusan tersebut membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa menyantuni rakyat termasuk memberi peluang memiliki tanah sendiri pada kadar mampu milik, kerana berpegang kepada prinsip bahawa tanah bukan sekadar aset, tetapi amanah untuk menjamin kesejahteraan rakyat kini dan generasi akan datang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan