AM > BERITA

Inisiatif Hijau JKR Beri Penjimatan RM743,000 Kepada Kerajaan Setakat Julai

04/11/2025 06:18 PM

PUTRAJAYA, 4 Nov (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) berjaya merekodkan pengurangan pelepasan 1.59 juta kilogram karbon dioksida bersamaan (CO2e) serta penjimatan 2 juta kilowatt jam (kWj) tenaga setahun, bersamaan penjimatan kewangan lebih RM743,625 kepada kerajaan setakat Julai 2025.

Ketua Pengarah Datuk Seri Roslan Ismail berkata pencapaian itu adalah hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif kelestarian di bawah jabatan termasuk pelan pengurusan tenaga dan penarafan hijau dalam projek pembinaan.

“Selain itu, sebanyak 143 projek bangunan dan 91 projek jalan raya telah menerima akreditasi penarafan hijau di bawah sistem pHJKR yang menyumbang kepada pengurangan karbon kolektif melebihi 29 juta kilogram CO2e,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian JKR Greenday 2025: Green Generation Empowering Change di sini hari ini.

Terdahulu, majlis itu disempurnakan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang turut dihadiri warga JKR serta rakan strategik industri.

Roslan berkata pencapaian itu seiring dengan usaha JKR menyokong aspirasi nasional untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 serta komitmen kerajaan ke arah pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050.

Beliau berkata jabatan itu kini sedang merangka Polisi Pembangunan Lestari JKR 2026-2030 bagi memastikan dasar dan hala tuju jabatan kekal relevan, progresif dan berdaya saing dalam mendepani cabaran masa depan.

“JKR turut mengamalkan pelbagai instrumen kelestarian seperti penarafan hijau (pHJKR), Sistem Pemarkahan Produk Hijau (GPSS), pelaksanaan Pelan Pengurusan Sisa Pembinaan (CWMP) serta pensijilan MS ISO 14001 dan MS ISO 50001 bagi memperkukuh tadbir urus tenaga dan alam sekitar,” katanya.

Beliau turut menekankan program JKR Greenday 2025 berperanan sebagai platform memperkasa kefahaman serta perkongsian pengetahuan berkaitan amalan hijau, di samping mempersiapkan warga teknikal menghadapi cabaran pembangunan mampan.

“Generasi muda perlu menjadi peneraju perubahan industri melalui amalan hijau yang bertanggungjawab. Program seperti Greenday menjadi wadah untuk kita menyemai kesedaran terhadap kepentingan pembangunan lestari dalam semua aspek perancangan dan pelaksanaan projek,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan