ISKANDAR PUTERI, 5 Nov (Bernama) -- Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan dominasi hampir keseluruhan permainan untuk menundukkan Shanghai Shenhua FC 3-1 dalam aksi kumpulan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACL Elite) 2025/26 di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.
Skuad Harimau Selatan bimbingan Xisco Munoz itu memulakan permainan dengan tempo tinggi dan seawal lima minit pertama, percubaan bahaya Ager Aketxe Barrutia, Oscar Arribas dan Jonathan Silva memaksa penjaga gol Bao Yaxiong bertindak cemerlang.
Pada minit ke-18, JDT dianugerahkan sepakan percuma selepas Arif Aiman Mohd Hanapi dijatuhkan ketika cuba menembusi pertahanan Shanghai Shenhua.
JDT kemudian membuat pertukaran taktikal pada minit ke-19 dengan memasukkan Muhammad Afiq Fazail menggantikan Ager Aketxe bagi memperkukuh kawalan tengah.
Percubaan sepakan percuma Oscar Arribas pada minit ke-20 ditepis keluar Luis Asue, sementara Jairo Da Silva hampir meledak gol pada minit ke-22, namun jaringan dibatalkan pengadil kerana kedudukan offside.
Peluang terbaik babak pertama hadir pada minit ke-35 apabila rembatan Oscar Arribas tepat menuju ke gawang, namun bola sekadar menggegar tiang, dan separuh masa pertama ditutup 0-0.
Memasuki babak kedua, JDT memecah kebuntuan pada minit ke-47 apabila Arif Aiman menghantar hantaran cemerlang dari sudut sukar kepada Jonathan Silva yang menewaskan Bao Yaxiong dengan sepakan penyudah.
JDT menggandakan kedudukan pada minit ke-63 apabila Oscar Arribas menyempurnakan hantaran kemas Muhammad Afiq Fazail dengan sepakan kencang untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Shanghai Shenhua merapatkan kedudukan pada minit ke-71 selepas semakan VAR mengesahkan Natxo Insa melakukan kekasaran dalam kotak penalti.
Saulo Mineiro menyempurnakan sepakan penalti dengan rembatan leret ke sudut kiri penjaga gol JDT Andoni Zubiaurre Dorronsoro, sekali gus menewaskannya untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Permainan kembali tegang pada minit ke-81 apabila Joao Teixeira dan Saulo Mineiro dilayangkan kad kuning kerana melakukan kekasaran terhadap pemain JDT ketika cuba mematahkan serangan balas.
JDT melebarkan jurang jaringan pada minit ke-87 menerusi Jonathan Silva yang menamatkan serangan dengan sepakan penyudah hasil hantaran kemas Arif Aiman, menjadikan kedudukan 3-1.
Kemenangan itu melonjakkan kedudukan JDT dalam carta kumpulan ACL Elite 2025/26 daripada tempat ke-10 ke tangga kedua Kumpulan A dengan tujuh mata selepas empat perlawanan lalu meningkatkan peluang mereka untuk mara ke pusingan kalah mati.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial