AM > BERITA

Program SejaTi MADANI Beri Manfaat Kepada Hampir 10,000 Komuniti - Dr Zaliha

05/11/2025 07:36 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) telah memberikan manfaat kepada 9,678 komuniti dengan 10,337 projek dilaksanakan di seluruh negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata antara pencapaian ketara program itu ialah peningkatan pendapatan komuniti sehingga RM15,000 sebulan, selain mewujudkan peluang pekerjaan tempatan baharu serta menggalakkan aktiviti keusahawanan dan agro makanan.

Dr Zaliha berkata peruntukan program di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu disalurkan terus ke akaun komuniti yang memohon.

“Bagi memastikan ketelusan, ICU menubuhkan jawatankuasa pemantau yang dianggotai pelbagai jabatan dan agensi bagi menyemak dokumen serta rekod kewangan secara berkala,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Dr Zaliha mengulangi bahawa projek Kota MADANI di Putrajaya bukan satu pembaziran seperti didakwa sesetengah pihak.

Beliau berkata projek dibiayai pihak swasta melalui kaedah bina, pajak, selenggara dan pindah (BLMT)  itu dibangunkan sebagai perbandaran beridentiti dengan unit kediaman yang bakal menempatkan lebih 30,000 penjawat awam serta dilengkapi infrastruktur pintar, kemudahan asas dan persekitaran mampan.

“Pembangunan Kota MADANI ini juga dilaksanakan melalui kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dengan kos pembinaan ditanggung oleh pihak swasta, jadi kerajaan tidak mengeluarkan peruntukan RM4 bilion daripada awal,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata Jabatan Bantuan Guaman diminta untuk mengkaji cadangan meningkatkan kadar gaji maksimum tahunan bagi kelayakan mendapatkan perkhidmatan bantuan guaman, selaras komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan akses kepada keadilan untuk seluruh rakyat.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan perlu mengambil kira kesan peningkatan had gaji itu kepada pasaran khidmat guaman swasta, termasuk memastikan ia tidak menjejaskan profesion mereka, mengambil kira faktor tidak semua agensi swasta mengenakan fi yang mahal.

“Penetapan had pendapatan RM50,000 setahun (ketika ini) untuk bantuan guaman di bawah Jabatan Bantuan Guaman bukan satu penetapan mutlak, sebaliknya kelayakan boleh dipertimbangkan oleh menteri untuk mereka yang berpendapatan lebih RM50,000 setahun demi kepentingan keadilan, berdasarkan Akta Bantuan Guaman 1971,” katanya.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan