IPOH, 6 Nov (Bernama) -- Politeknik Ungku Omar (PUO) secara rasmi diiktiraf sebagai politeknik pertama di Malaysia dilantik sebagai Pusat Penilaian Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) (PPA) oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
PUO dalam kenyataan memaklumkan pengiktirafan itu diumumkan pada Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif MQA Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, dan turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Shamsuri Abdullah, di Putrajaya semalam.
Menurut kenyataan itu, pelantikan berkenaan merupakan langkah strategik dalam memperluas akses kepada pendidikan tinggi, selain memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara menerusi pendekatan APEL.
“Melalui PPA PUO, calon bukan sahaja akan dinilai melalui APEL.A (kemasukan ke program akademik), malah turut dibimbing dalam mengenal pasti kekuatan pengalaman mereka untuk diterjemahkan kepada nilai ilmu yang relevan dengan keperluan akademik.
“Inisiatif ini sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan laluan TVET sebagai pilihan utama yang inklusif, fleksibel dan progresif, sekali gus menyumbang kepada peningkatan mobiliti sosial rakyat,” katanya.
Kenyataan itu menyebut, dengan pelantikan tersebut PUO kini berada di barisan hadapan dalam memperkasa pendidikan holistik yang mengiktiraf kemampuan sebenar individu, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam pendidikan tinggi.
Sementara itu, Shamsuri dalam kenyataan sama berkata pelaksanaan APEL di PUO merupakan pengiktirafan terhadap keupayaan institusi berkenaan melaksanakan penilaian secara profesional, sistematik dan berintegriti.
“APEL memberi peluang kepada individu berpengalaman kerja tetapi tiada kelayakan akademik formal untuk melanjutkan pengajian berdasarkan pengalaman sebenar mereka, inilah yang dimaksudkan dengan pengiktirafan ilmu sepanjang hayat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial