AM > BERITA

POLISAS Cadang Perluas Program Ke Peringkat Ijazah Sarjana Muda

15/01/2026 04:34 PM

KUANTAN, 15 Jan (Bernama) -- Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) bercadang memperluas penawaran program daripada peringkat diploma kepada ijazah sarjana muda, sejajar keperluan negara terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi.

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr Shamsuri Abdullah, berkata cadangan itu akan melibatkan program sedia ada seperti Teknologi Makanan dan Biologi Makanan, mengikut keperluan semasa.

“Cadangan ini masih di peringkat idea awal dan perancangan khusus akan dibuat selepas kajian terperinci dijalankan,” katanya selepas merasmikan Majlis Peluncuran Tahun Jubli Emas POLISAS di Dewan Sri Mahkota, POLISAS, hari ini

Beliau berkata POLISAS juga mempunyai Centre for Food Science and Technology (CIFOS) yang menjadi pusat kecemerlangan pendidikan, penyelidikan dan kolaborasi industri dalam bidang teknologi makanan.

Sejak penubuhannya, POLISAS telah melahirkan lebih 60,000 graduan yang kini berkhidmat dalam pelbagai sektor termasuk perniagaan, perkhidmatan awam dan industri, sejajar peranan politeknik sebagai pembekal tenaga kerja profesional dalam bidang teknikal, perniagaan dan teknologi. Negara kini mempunyai 36 politeknik dan 106 kolej komuniti.

Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim, berkata sambutan 50 tahun politeknik itu akan diserikan dengan pelbagai program ilmiah, sukan dan program induk yang melibatkan warga POLISAS, masyarakat serta pihak berkepentingan.

“Pengumuman rasmi mengenai pelaksanaan program ijazah sarjana muda dijangka dibuat selepas kelulusan diperoleh, dengan sasaran awal sekitar Ogos depan,” katanya.

Majlis itu turut menyaksikan POLISAS menerima zakat wakalah melebihi RM210,000 daripada Pusat Kutipan Zakat dan Persatuan Alumni POLISAS.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan