PUTRAJAYA, 6 Nov (Bernama) -- Cadangan untuk meningkatkan ciri keselamatan kenderaan yang digunakan oleh pasukan keselamatan susulan nahas trak membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada 13 Mei lalu telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri minggu lepas.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk meneliti pelaksanaan cadangan berkenaan.
“Sudah tentu perkara ini perlu diselesaikan oleh kementerian-kementerian terlibat, kita (Kementerian Pengangkutan) boleh buat laporan dan cadangan tetapi akhirnya yang perlu mengambil tindakan ialah kementerian yang terlibat iaitu KDN dan juga MINDEF.
“Sudah tentu ada cabarannya dan memerlukan masa untuk dilaksanakan sebab ini memerlukan pelbagai langkah retrofit (pengubahsuaian), mungkin juga (pembelian) kenderaan baharu dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Deepavali kementerian itu di sini hari ini.
Insiden pada 8.54 pagi itu mengorbankan sembilan anggota FRU manakala sembilan lagi cedera selepas trak yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori tipper, dipercayai memasuki laluan bertentangan, di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak.
Menurut Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan berhubung kemalangan maut itu yang disiarkan minggu lepas, muatan lori tipper yang melebihi 70 peratus daripada had Berat Dengan Muatan (BDM) dikenal pasti sebagai punca utama nahas tersebut.
Sebanyak 16 syor keselamatan telah dikemukakan merangkumi enam bidang utama antaranya peningkatan pematuhan Kod Amalan Industri bagi Keselamatan Pengangkutan Jalan (ICOP), penambahbaikan Akta 715 (Akta Pengangkutan Awam Darat 2010) serta peningkatan ciri keselamatan kenderaan kerajaan seperti pemasangan tali pinggang keledar bagi semua tempat duduk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial