KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Sebanyak 84,500 pesakit menerima manfaat bantuan daripada Kumpulan Wang Amanah Tabung Bantuan Perubatan (TBP) dengan nilai kelulusan RM793.7 juta sejak 2005 hingga kini.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata jumlah itu termasuk lebih 3,800 permohonan yang diluluskan pada tahun ini dengan amaun kelulusan bernilai RM56.2 juta setakat Oktober.
"Tabung ini bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan bagi membiayai sebahagian atau sepenuhnya kos rawatan, peralatan perubatan, peralatan rehabilitasi dan ubat-ubatan berdasarkan syarat-syarat tertentu.
"Antara disiplin perubatan yang disenaraikan di bawah tabung ini seperti kardiologi, ortopedik, respiratori, surgeri, rehabilitasi dan lain-lain," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.
Berhubung polisi Insurans Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), beliau berkata pengenalan produk asas membolehkan pemegang polisi baharu dan sedia ada mempunyai alternatif lebih mampan serta terjamin, tanpa perlu bergantung kepada langkah interim yang bersifat sementara.
"Produk asas MHIT ini akan menyediakan perlindungan kewangan terhadap kos kemasukan ke hospital dengan tahap ketelusan yang lebih tinggi untuk semua pihak," katanya.
Bagaimanapun, Amir Hamzah berkata kerajaan bakal memperkenalkan struktur produk asas MHIT sebagai produk stand-alone tanpa sebarang kaitan dengan prestasi pelaburan.
"Status pelan perubatan yang dijual sebagai rider (manfaat tambahan) kepada polisi berkaitan pelaburan juga sedang dikaji semula oleh Bank Negara Malaysia," katanya.
Sebanyak 20 orang Ahli Parlimen membahaskan RUU Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini sebelum diluluskan dengan lebih suara bersetuju.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial