AM > BERITA

Kawasan Penemuan Rangka Kapal Di Pulau Melaka Diwarta Zon Larangan - Ab Rauf

06/11/2025 07:46 PM

MELAKA, 6 Nov (Bernama) -- Kerajaan Melaka mewartakan kawasan penemuan serpihan kayu dipercayai rangka sebuah kapal berusia lebih 1,200 tahun di Pulau Melaka di sini sebagai zon larangan bagi memberi laluan kerja-kerja ekskavasi oleh Jabatan Warisan Negara (JWN).

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pewartaan itu bertujuan mengelak sebarang pencerobohan pihak tidak berkenaan serta memastikan semua penemuan artifak di kawasan itu diselamatkan, sekali gus proses konservasi dapat dilaksanakan.

“Kawasan ini akan diwartakan sebagai zon larangan sehingga kerja-kerja penerokaan ini selesai kerana kawasan di sini adalah satu kawasan berharga bukan sahaja untuk Melaka tetapi juga negara.

“Penemuan ini penting dalam usaha kita memperbetulkan sejarah yang selama ini dipandu oleh catatan-catatan sejarah sebelum ini... banyak fakta sejarah kita mungkin telah diubah,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan di tapak ekskavasi itu, yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Ketua Pengarah JWN Mohamad Muda Bahadin.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata kerajaan negeri akan memohon peruntukan daripada kerajaan pusat bagi memastikan kerja-kerja ekskavasi aset negara itu dapat dijalankan secara meluas, sekali gus lebih banyak penemuan diperoleh.

“Kerja-kerja ekskavasi dijangka mengambil masa panjang kerana ia melibatkan banyak proses dan ramai pihak terlibat bermula di peringkat cari gali, pakar arkeologi dan pakar sejarah… sudah tentu ia memerlukan bajet yang mencukupi.

“Kami juga akan bantu dari segi bajet dan memberi kerjasama penuh kepada pihak JWN, Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), kumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) agar misi ini berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata semua artifak atau penemuan sejarah itu akan dikaji secara teliti bagi mendapatkan pengesahan usia serta latar belakang bahan sejarah berkenaan sebelum dipamerkan kepada orang ramai di muzium di bawah Perzim.

Sebelum ini, media melaporkan penemuan sekeping papan kayu dipercayai serpihan daripada badan sebuah kapal yang ditemukan di Pulau Melaka bakal membuka lembaran baharu dalam naratif sejarah dan kegiatan maritim di Melaka, sebelum ketibaan Parameswara di negeri berkenaan.

Penemuan itu dipercayai sebuah kapal milik golongan bangsawan berusia antara 1,200 hingga 1,300 tahun, jauh lebih awal daripada sejarah rasmi Melaka yang bermula sekitar 1262 atau abad ke-13.

Kerja-kerja ekskavasi itu turut menemukan serpihan porselin dan duit syiling dipercayai digunakan pada era Sultan Mahmud Shah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan