AM > BERITA

Saifuddin Nasution Jumpa AGC Esok Berhubung Kes Kehilangan Amri Che Mat, Raymond Koh

06/11/2025 08:30 PM

PUTRAJAYA, 6 Nov (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengadakan pertemuan dengan pegawai Jabatan Peguam Negara (AGC) esok bagi mendapatkan taklimat lengkap sebelum menentukan hala tuju siasatan lanjut berhubung kes kehilangan aktivis Amri Che Mat dan paderi Raymond Koh.

Beliau berkata pertemuan itu penting untuk memahami secara menyeluruh keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, yang mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi dan membuka semula kertas siasatan kes berkenaan.

“Esok pagi saya akan mengadakan pertemuan dengan pegawai berkenaan dari Jabatan Peguam Negara yang mengendalikan kes ini daripada awal. Tujuannya supaya saya mendapat taklimat lengkap dan menyeluruh.

“Saya tentunya tidak boleh gopoh dalam memberikan sebarang kenyataan selain lebih baik untuk saya terlebih dahulu mendapat taklimat lengkap,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Jelajah Wira MADANI di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata kes itu adalah ‘legasi’ kementerian berkenaan yang berlanjutan sejak 2016 dan 2017, dan sebelum ini telah melalui beberapa peringkat siasatan termasuk semakan kehakiman oleh keluarga kedua-dua individu terbabit untuk mendapatkan akses kepada laporan siasatan.

Beliau berkata keputusan mahkamah juga melibatkan arahan membuka semula kertas siasatan, termasuk menetapkan klasifikasi kes dan hala tuju siasatan oleh polis.

Amri dilaporkan hilang pada 24 Nov 2016, manakala Koh pada 13 Feb 2017.

Semalam, mahkamah memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM3,264,457.52 berserta kos dan faedah kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin serta lebih RM37 juta kepada isteri Koh, Susanna Liew setelah membenarkan saman yang difailkan kedua-dua wanita itu terhadap kerajaan dan polis.

AGC memaklumkan pihaknya akan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan mahkamah yang mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi berhubung kes kehilangan Amri dan Koh. 

Dalam dua kenyataan berasingan hari ini, AGC memaklumkan notis rayuan itu berkaitan dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Tiang Joo yang memutuskan pihak polis dan kerajaan bertanggungjawab terhadap kehilangan dua individu berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan