AM > BERITA

Lebih 3,000 Hektar Tanah Terbiar Dibangunkan Di Kelantan

06/11/2025 08:40 PM

KOTA BHARU, 6 Nov (Bernama) -- Seluas 3,332.92 hektar tanah terbiar dibangunkan oleh Jabatan Pertanian Negeri Kelantan dengan peruntukan lebih RM26 juta sejak 2006 hingga 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata kerajaan negeri menyediakan peruntukan lebih RM12.6 juta melibatkan pembangunan tanah terbiar seluas 2,332.57 hektar, manakala kerajaan Persekutuan pula memperuntukkan lebih RM13.7 juta membabitkan tanah terbiar seluas 1,000.35 hektar.

“Tanah-tanah terbiar milik sendiri atau sewaan itu dibangunkan dengan tanaman kekal seperti kelapa, durian dan limau madu serta tanaman singkat masa seperti tembikai, nanas, cili, timun, jagung, melon dan sayur-sayuran.

“Keluasan minimum bagi mengusahakan tanah terbiar di bawah peruntukan Jabatan Pertanian Negeri adalah seluas 0.4 hektar dengan kadar peruntukan RM25,000 per hektar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Kamaruzaman Mohamad (PAS-Gual Periok) mengenai keluasan tanah terbiar yang dikenal pasti dan rancangan kerajaan negeri untuk memajukan tanah itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Saripudin berkata kadar insentif itu meliputi infrastruktur seperti pembersihan dan penyediaan kawasan, pembelian input, mekanisasi dan peralatan pertanian, penyediaan kemudahan infrastruktur ladang meliputi sistem pengairan dan saliran.

“Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan pula sedang membangunkan Agrovalley Rong Chenok di Pasir Mas dengan keluasan tanah lebih 109 hektar untuk menjalankan beberapa aktiviti pertanian seperti tanaman sayuran secara teknologi hidroponik, tanaman cili secara fertigasi dan pusat pembenihan ikan air tawar.

“Bagi perancangan 2025-2026, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah meluluskan beberapa peruntukan bagi membangunkan lagi aktiviti pertanian di Agrovalley Rong Chenok seperti tanaman bagi sumber makanan ternakan ruminan (napier), tanaman buah-buahan melon madu dan pisang,” katanya.

Beliau berkata Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad juga telah membangunkan pertanian di atas Tanah Yayasan Islam Kelantan bagi tujuan menambah nilai tanah terbiar untuk dijadikan projek pertanian secara berkelompok melibatkan petani di kawasan sekitar Tanah Merah.

“Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd turut menyumbang kepada sektor pertanian makanan melalui promosi dan jualan anak benih pisang berkualiti melalui teknologi kultur tisu tumbuhan kepada petani,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan