KUALA LUMPUR, Nov 6 (Bernama) -- Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) diminta memberi perhatian segera terhadap isu yang membelenggu kampung tradisi di Kuala Lumpur, termasuk berkenaan warga asing, penyelenggaraan infrastruktur dan status guna tanah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata isu lain yang perlu diberi perhatian termasuk situasi tanah pertanian yang telah dipenuhi struktur kediaman tanpa kelulusan.
“Saya mengarahkan JWP memberi perhatian khusus kepada isu-isu yang membelenggu kampung-kampung tradisi di Kuala Lumpur,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dr Zaliha berkata arahan itu diberikan semasa mempengerusikan Mesyuarat Ketua-Ketua Agensi Jabatan Wilayah Persekutuan di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan hari ini.
Beliau berkata usaha itu seiring dengan langkah memperkukuh tadbir urus tanah dan memastikan pembangunan Wilayah Persekutuan berjalan secara teratur, berasaskan data serta berfokus kepada kesejahteraan komuniti.
Menurut Dr Zaliha pada mesyuarat itu, aplikasi Mobil e-Tanah yang akan beroperasi secara rasmi pada 11 Nov ini bagi memperkemas akses rakyat kepada maklumat dan perkhidmatan tanah di Wilayah Persekutuan dengan lebih mudah dan telus turut dilancarkan.
Beliau berkata agensi-agensi di bawah JWP turut membentangkan perkembangan menyeluruh mengenai inisiatif meningkatkan kecekapan tenaga dan pengurusan aset menggunakan teknologi tenaga baharu bagi menyokong pensijilan bangunan hijau serta mengurangkan kos elektrik kerajaan, selari dengan agenda Bandar CHASE pada mesyuarat itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial