AM > BERITA

Malaysia Lakar Sejarah, Dipilih Ahli Lembaga UNESCO Bagi Penggal 2025-2029

07/11/2025 11:27 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Malaysia melakar sejarah gemilang di persada antarabangsa apabila dipilih sebagai Ahli Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi penggal 2025 hingga 2029.

Menteri Pendidikan merangkap Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia Fadhlina Sidek berkata pemilihan Malaysia itu diumumkan pada Persidangan Agung UNESCO ke-43 di Samarkand, Uzbekistan.

Beliau menyifatkan kejayaan tersebut sebagai pengiktirafan dunia terhadap kepimpinan, sumbangan dan keupayaan Malaysia dalam memacu agenda global pendidikan, sains dan kebudayaan demi kesejahteraan global yang inklusif dan mampan.

"Mewakili Malaysia, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua negara anggota UNESCO yang telah memberikan kepercayaan ini.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama pasukan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Kementerian Pendidikan, Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO di Paris, Kementerian Luar serta rakan strategik yang sentiasa komited memperjuangkan kepentingan bersama di peringkat global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadhlina berkata pemilihan Malaysia adalah amanah untuk memastikan suara negara membangun khususnya di rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik, terus didengari dan dihormati selain  menyerlahkan komitmen berterusan negara bagi membina masa hadapan lebih inklusif, aman dan lestari untuk generasi akan datang.

Beliau berkata Malaysia akan terus menjadi rakan yang strategik, proaktif dan konstruktif di UNESCO, memacu dasar dan inisiatif yang memartabatkan pendidikan berkualiti, memperkukuh sains dan teknologi untuk pembangunan mampan serta memelihara warisan budaya dan alam sekitar dunia.

“Menerusi mandat baharu ini, Malaysia akan memainkan peranan strategik dalam membentuk hala tuju UNESCO untuk empat tahun akan datang sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dan agenda Matlamat Pembangunan Mampan 2030,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan memaklumkan kejayaan Malaysia dipilih sebagai Ahli Lembaga Eksekutif UNESCO selepas memperoleh 167 undian dan memenangi  satu daripada enam kerusi yang diperuntukkan di bawah Kumpulan Elektoral IV.

Menurut Wisma Putra pemilihan itu merupakan penggal ketujuh Malaysia dalam Lembaga Eksekutif UNESCO sejak menjadi negara anggota pada 1958.

“Kejayaan ini mencerminkan peranan dan kepimpinan teguh negara untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang pendidikan, sains dan kebudayaa selaras dengan Visi Komuniti ASEAN 2045 dan keutamaan global UNESCO.

“Keanggotaan Malaysia juga menyumbang kepada peranan aktif Malaysia dalam dua badan subsidiari utama UNESCO, iaitu Jawatankuasa Antara Kerajaan bagi Perlindungan Warisan Budaya Tidak Ketara (2022-2026) dan Majlis Antara Kerajaan bagi Program Hidrologi (2023-2027),” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan Malaysia akan terus menyumbang secara aktif sepanjang tempoh keanggotaannya dalam lembaga eksekutif itu, serta menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh kerjasama pelbagai hala, memajukan ilmu, memanfaatkan sains dan inovasi bagi kelestarian, serta memelihara warisan budaya demi manfaat bersama.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan