KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) menyeru supaya sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa 2025 dijadikan titik lonjakan dalam memperkukuh kerjasama serantau.
Presidennya Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata ia khususnya bagi memperluas perdagangan digital dan membina keupayaan e-dagang dalam gerakan koperasi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP), menzahirkan perkara itu semasa penyertaan ANGKASA pada Pameran dan Forum Koperasi di Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) 2025 yang berlangsung dari 4 hingga 9 Nov di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC), Shanghai.
Menerusi pembentangan bertajuk ‘Asia Pasifik: Memperkukuh Rangka Kerja bagi Perdagangan Koperasi’ pada Forum Perdagangan dan Pembangunan ICA, beliau berkata koperasi bukan sekadar entiti ekonomi, sebaliknya menjadi ejen pembangunan sosial yang berperanan meningkatkan kesejahteraan masyarakat berasaskan nilai kebersamaan, tanggungjawab sosial dan keadilan ekonomi.
Beliau berkata di peringkat global, gerakan koperasi kini merangkumi lebih satu bilion anggota dan telah mewujudkan 280 juta peluang pekerjaan, bersamaan kira-kira 12 peratus tenaga kerja dunia.
Di Asia Pasifik pula, Abdul Fattah berkata lebih 180 juta anggota koperasi memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan makanan, membina ketahanan komuniti dan memacu pertumbuhan ekonomi mampan berpaksikan rakyat.
“Sehubungan itu, Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP memainkan peranan penting sebagai wadah memperkukuh rangkaian perdagangan koperasi di peringkat serantau. Ia menjadi jambatan yang menghubungkan koperasi dari pelbagai negara, menggalakkan pertukaran pengetahuan, inovasi digital serta memperkukuh kedudukan koperasi dalam dasar perdagangan antarabangsa.
“Sebagai contoh, ‘Malaysian Business Office’ (MBO) yang diluluskan oleh ICA-AP di Kobe, Jepun pada 2013, dan diterajui bersama oleh pegawai dari China, Jepun, Korea Selatan dan Malaysia telah menjadi pusat operasi utama bagi aktiviti perdagangan koperasi,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata sejak penubuhannya, MBO telah menganjurkan pelbagai misi dagangan, bengkel, pameran dan sesi pemadanan perniagaan yang membuka peluang baharu serta memperkukuh kolaborasi antara koperasi di rantau Asia Pasifik.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat cabaran dalam mewujudkan rangka kerja perdagangan koperasi yang benar-benar inklusif.
“Bagi menanganinya, penyepaduan koperasi dalam dasar perdagangan nasional dan serantau, pemudah cara piawaian dan pensijilan rentas sempadan, pembangunan keupayaan serta kesiapsiagaan digital, dan pengukuhan sumber pembiayaan serta pelaburan koperasi diyakini dapat memperkukuh daya saing koperasi serantau dalam ekonomi global yang semakin dipacu oleh transformasi digital,” katanya.
Forum dan pameran anjuran ICA bersama All-China Federation of Supply and Marketing Co-operatives (ACFSMC) serta National Association of Cooperatives and Other Forms of Economic Communities of Kazakhstan itu, turut mendapat kerjasama Shanghai Municipal Federation of Supply and Marketing Co-operatives serta China-ASEAN Chamber of Agricultural Commerce (CACAC).
Delegasi ANGKASA juga dijadualkan melawat Shanghai Sanyang Co-op dan National Specialty Food Store bagi meneroka peluang strategik baharu dalam sektor pertanian, makanan halal dan perdagangan digital untuk koperasi Malaysia, selain menyertai aktiviti Forum Koperasi Lancang-Mekong dan pameran khas di CIIE 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial