KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Platform e-dagang dipercayai di Malaysia, TikTop Shop, mencatatkan pertumbuhan lebih tiga kali ganda dari tahun ke tahun dalam jumlah jenama yang menyertai Program Jaminan Keaslian Tiktok Mall, didorong kerjasama dengan kerajaan bagi memperkasakan usahawan tempatan melalui latihan perlindungan harta intelek menjelang musim jualan hujung tahun.
Pengarah Kanan Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia Nur Azre Abdul Aziz berkata pihaknya bekerjasama secara berterusan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menerusi usaha itu, beliau berkata lebih 300 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan serta 40 pegawai penguat kuasa KPDN telah diperkasa dengan kemahiran dan pengetahuan untuk memanfaatkan Pusat Perlindungan Harta Intelek (IPPC) TikTok Shop, bagi melindungi jenama tempatan daripada pelanggaran harta intelek (IP) pada tahun ini.
“Usaha ini disokong Dasar Harta Intelek dan Dasar Anti-Pemalsuan dan Tiruan kami yang kukuh, yang mana pada separuh kedua 2024, telah menghasilkan lebih tujuh juta produk disekat secara proaktif daripada tersenarai di peringkat global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata ekosistem e-dagang yang mampan memberi manfaat kepada pembeli dan penjual dan TikTok Shop kekal komited untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi menjunjung integriti platform itu.
“Kami gembira usaha bersama ini telah menarik lebih banyak jenama menyertai TikTok Shop Mall untuk mengukuhkan kedudukan pasaran mereka dengan Jaminan Keaslian 100 peratus kami, termasuk jenama tempatan seperti Skinmade, Hetch, Mommyhana, SALYRA Shop, Szindore, Olive House dan banyak lagi.
“Jenama-jenama ini akan mempunyai kelebihan strategik dalam membina kepercayaan dan memacu penukaran semasa 11.11, jualan terbesar dan yang paling dinanti-nantikan tahun ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah MyIPO Yusnieza Syarmila Yusoff dalam kenyataan sama berkata kerjasama awam-swasta merupakan kunci kepada pembentukan ekosistem e-dagang lestari yang menggalakkan persaingan sihat dan perkembangan perniagaan secara bertanggungjawab.
Beliau berkata pihak kerajaan bersama platform yang dipercayai seperti TikTok Shop, telah menyediakan asas dan infrastruktur kukuh untuk membolehkan PMKS tempatan melindungi harta intelek mereka.
“Namun, kita harus sedar bahawa ini adalah tanggungjawab bersama. Oleh itu, usahawan juga perlu memainkan peranan aktif dalam melindungi jenama mereka melalui pendaftaran cap dagangan dan membuat laporan aktif atas sebarang syak pelanggaran harta intelek berserta bukti yang kukuh melalui saluran rasmi”, katanya.
Yusnieza Syarmila berkata dalam menyokong usaha itu, MyIPO memperkenalkan kempen JenamaLOKAL300 di bawah tema ‘Lindungi Jenama Lokal, Tembusi Pasaran Global’ untuk menggalakkan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mendaftarkan cap dagangan dan melindungi jenama mereka.
Beliau berkata inisiatif itu menawarkan pengurangan yuran pendaftaran cap dagangan sebanyak RM300, menjadikan kos hanya RM650 untuk perlindungan selama 10 tahun, sekali gus memudahkan pendaftaran IP diakses PKS yang ingin mengembangkan jenama dan bersaing di peringkat global.
Yusnieza Syarmila berkata penting bagi usahawan untuk memberi fokus kepada inovasi dan keunikan produk selain penglibatan yang berterusan dan sokongan daripada platform seperti TikTok Shop.
“Kami berharap untuk melihat lebih banyak jenama Malaysia berkembang dalam talian dan menjadi jenama yang dikenali ramai dan mampu bersaing dengan yakin di pentas global,” katanya.
Menurut TikTop Shop, pada tahun ini, TikTok Shop 11.11 Mega Sale akan menampilkan tawaran #JomLokal Flash Sale khas daripada jenama tempatan kegemaran rakyat Malaysia bagi memaksimumkan penjimatan dengan tawaran kompetitif.
Sepanjang tempoh kempen dari sekarang hingga 11 Nov, pelanggan dalam talian di seluruh negara boleh menikmati Penghantaran Percuma Tanpa Had, baucar boleh digabungkan hingga 30 peratus diskaun, beli satu percuma satu dan lebih lagi di TikTok Shop.
“Selain itu, TikTok Shop menganjurkan Karnival 11.11 Mega Sale secara fizikal di Malaysia buat julung kali dari 7 hingga 9 Nov di Pusat Pameran Pavilion Bukit Jalil yang terbuka kepada umum dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari. Acara tiga hari ini menyajikan pengalaman ‘Shoppertaiment offline-to-online (O2O)’ yang menggabungkan hiburan langsung dengan pengalaman membeli-belah masa nyata,” menurut kenyataan itu.
Pengunjung juga boleh menikmati persembahan menarik daripada pencipta kandungan serta selebriti terkenal termasuk Phei Yong, Fizo Omar, Khairul Aming, Alif Satar, Khai Bahar sambil meneroka tawaran hebat di lebih 60 reruai di Karnival 11.11 Mega Sale.
Selain itu, satu konsert khas juga akan berlangsung pada 7 malam, 8 Nov menampilkan Ziana Zain, Amsyar Lee serta barisan artis lain dan disiarkan secara langsung menerusi akaun rasmi @tiktokshop_my di aplikasi TikTok.
Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai 11.11 Mega Sale dan karnival TikTok Shop, boleh melayari https://vt.tiktok.com/ZSHcSKaFYRUb4-1ZGaj/.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial