AM > BERITA

Pekan Sempadan Malaysia-Thailand, Bukit Bunga Perlu "Nyawa Baharu"

08/11/2025 04:22 PM

TANAH MERAH, 8 Nov (Bernama) -- Destinasi beli-belah Bukit Bunga di sini, yang suatu ketika dahulu meriah dengan kehadiran pengunjung, kini dilihat semakin suram apabila banyak premis perniagaan terpaksa ditutup berikutan kekurangan pelanggan sejak beberapa tahun belakangan ini.

Terletak berhampiran Lebuh Raya Timur Utama dan bersempadan dengan Thailand, kawasan yang pernah menjadi tumpuan penduduk tempatan serta pelancong itu kini memerlukan "nafas baharu" dengan pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti bagi merancakkan semula kehadiran orang ramai ke lokasi berkenaan.

Tinjauan Bernama mendapati sebahagian besar lot kedai di kawasan itu kosong, malah ada peniaga terpaksa gulung tikar kerana hasil jualan merosot dengan mendadak sejak tiga tahun lepas.

Seorang peniaga makanan kering, Mariyana Muhammad, 53, berkata keadaan perniagaan di Bukit Bunga kini jauh berbeza berbanding dahulu apabila pelanggan semakin berkurangan.

“Sekarang ini hasil jualan saya menurun hampir 70 peratus. Hendak dapat RM100 hingga RM200 sehari pun sukar, sedangkan dahulu jualan saya boleh mencecah antara RM1,000 hingga RM2,000 sehari,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mariyana yang telah berniaga lebih 30 tahun di kawasan itu berkata suasana suram mula dirasai sejak tiga tahun lepas dan hanya kembali hidup ketika musim perayaan atau cuti panjang apabila perantau dari utara pulang ke Kelantan.

“Hari biasa sekarang ini, saya boleh kira berapa orang yang singgah membeli barang runcit atau produk IKS (industri kecil dan sederhana) di kedai saya. Nasib baik saya berniaga di premis sendiri, kalau sewa sudah lama saya tutup kedai,” katanya.

Mariyana berkata penganjuran pelbagai program oleh agensi kerajaan pusat, negeri mahupun swasta di kawasan itu boleh menjadi platform untuk menarik semula orang ramai berkunjung ke Bukit Bunga.

“Harap ada program berskala besar diadakan di kawasan ini supaya peniaga dapat kembali bernafas, jangan hanya tumpu di kawasan bandar seperti Kota Bharu,” katanya.

Sementara itu, peniaga pakaian, Fatimah Dollah, 47, turut berkongsi pandangan bahawa suasana perniagaan kini jauh berbeza berbanding 10 tahun lepas.

“Dahulu, rata-rata peniaga boleh dapat jualan RM1,000 hingga RM2,000 sehari, tetapi sekarang kadang-kadang langsung tak ada pelanggan. Kami jual pakaian dengan harga berpatutan, serendah RM10 hingga RM40, bukan mahal pun,” katanya.

Fatimah berkata ramai pelanggan kini lebih tertarik untuk membeli-belah di Thailand kerana terdapat banyak program dan produk pelancongan menarik yang ada di sana.

“Cuti hujung minggu pun ramai rakyat kita masuk ke Thailand melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga,” katanya.

Dia berharap lebih banyak aktiviti pelancongan dan program bersama-sama komuniti diadakan bagi menarik pengunjung dari Malaysia dan Thailand ke Bukit Bunga.

“Sayang sebab lokasi ini strategik, dekat dengan sempadan dan laluan utama ke negeri utara tanah air, tetapi kurang program menarik dan produk pelancongan. Apabila banyak kedai tutup, peluang pekerjaan pun semakin berkurang. Tidak mustahil satu hari nanti pekan ini hanya tinggal kenangan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan