SUKAN > BERITA

LITAR DRAG BAHARU DI UMK BACHOK JADI TARIKAN PEMINAT AUTOMOTIF

08/11/2025 11:33 PM

BACHOK, 8 Nov (Bernama) -- Pembinaan litar drag pertama di Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok, dijangka merancakkan lagi aktiviti sukan permotoran di negeri ini.

Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Arham Abdullah berkata projek itu, dilaksanakan melalui kerjasama antara Koperasi Universiti Malaysia Kelantan Berhad dan Drag Dolphin Club (DDC) Team.

Beliau berkata pembinaan litar itu menjadi pemangkin kepada penerokaan baharu dalam ekosistem sukan permotoran, inovasi dan keusahawanan di UMK dan Kelantan.

“Inisiatif itu bukan sahaja memberi peluang kepada peminat automotif, tetapi juga menjadikan kawasan UMK sebagai tumpuan baharu aktiviti komuniti dan pelajar, dengan lebih 30,000 pengunjung hadir sepanjang tiga hari penganjuran.

“UMK memperuntukkan kawasan seluas lima ekar sebagai tapak permulaan dan merancang memperluas lagi pembangunan itu pada masa depan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Arham berkata trek sepanjang 500 meter itu, menyediakan ruang untuk aktiviti drag, drift serta kawasan jualan dan pertemuan, selain akan ditambah baik secara berperingkat bagi menjamin keselesaan dan keselamatan peserta.

Beliau berkata UMK turut merancang bekerjasama dengan Institut Kemahiran Belia Negara dan GiatMARA, untuk menjadikan kawasan berkenaan sebagai pusat latihan berasaskan TVET dalam bidang automotif dan sukan bermotor.

Sementara itu, Presiden DDC Team Azwan Hafiz Ibrahim berkata acara yang berlangsung dari 6 hingga 8 Nov ini, merupakan penganjuran pertama di litar baharu UMK dengan penyertaan lebih 180 kereta dan 140 motosikal pelbagai kategori.

Beliau berkata antara kategori kereta ialah turbo, Continental dan 4x4, manakala bagi motosikal melibatkan kategori 125cc, 150cc dan RX-Z.

Azwan berkata penganjuran Drag Day kali ini, menggantikan acara nyanyian dan kebudayaan sempena Pesko 2025, dan litar itu telah diperiksa oleh pihak polis serta Kementerian Belia dan Sukan.

Beliau berharap kemudahan di litar berkenaan dapat ditambah baik dengan penyediaan tempat duduk penonton, surau dan kemudahan sokongan lain.

Azwan berkata Kelantan mempunyai potensi besar sebagai hab sukan permotoran pantai timur, kerana negeri itu mempunyai penyertaan peminat drag tertinggi di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan