PUTRAJAYA, 9 Nov (Bernama) -- Ibu bapa diseru lebih peka dan berperanan aktif dalam memantau emosi serta pergaulan anak-anak dengan menekankan kasih sayang, bimbingan agama dan komunikasi terbuka.
Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kebelakangan ini negara dikejutkan dengan beberapa insiden melibatkan kanak-kanak dan remaja yang amat membimbangkan.
Beliau berkata isu berkenaan menuntut perhatian serius semua pihak khususnya ibu bapa sebagai benteng perlindungan utama keluarga.
"Setiap kali kejadian sebegitu tular, kita akan tertanya-tanya, apakah yang sedang berlaku kepada anak-anak kita.
"Sedar tidak sedar, anak-anak kita kini berdepan dengan tekanan dan pengaruh yang semakin kompleks daripada media sosial, rakan sebaya hinggalah kepada cabaran kesihatan mental, namun, dalam setiap cabaran, kita harus sedar bahawa keluarga adalah benteng perlindungan utama," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata walaupun ibu bapa tidak mampu mengawal segala ruang dunia luar, mereka masih boleh mengawal suasana di rumah dengan mewujudkan persekitaran penuh kasih sayang dan memberikan perhatian sewajarnya terhadap keperluan anak-anak.
"Satu lagi perkara pokok yang ingin saya tekankan dalam usaha membentuk keluarga harmoni ialah menerusi bimbingan agama, nilai murni dan akhlak mulia agar anak-anak kita mempunyai benteng yang lebih kuat untuk menolak pengaruh negatif.
"Kita perlu prihatin dan bertanya apa yang berlaku di sekolah dan pergaulan mereka. Kita perlu pantau aktiviti media sosial anak-anak, mengenali perubahan emosi atau tingkah laku mereka dan buka ruang kepada anak-anak bercerita tanpa membuat penilaian awal, tanpa mengadili, " kata Dr Wan Azizah.
Pada majlis sama, beliau turut melancarkan program Pakej KASIH MADANI 2.0 sebagai langkah proaktif memperkukuh hubungan pasangan suami isteri dan peranan bapa sebagai tonggak keluarga.
Pakej KASIH MADANI 2.0 dibangunkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan penglibatan para akademik serta pakar rujuk bidang kekeluargaan termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pakej itu merangkumi dua modul utama iaitu Modul Romantika Cinta untuk pasangan yang baru mendirikan rumah tangga dan Modul Kebapaan khusus bagi golongan bapa.
Bertemakan 'KASIH Keluarga, Bahagia Bersama', Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2025 merupakan seruan kepada penghayatan nilai 'KASIH' merangkumi Kasih sayang, Akhlak mulia, gaya hidup Sihat, pencapaian Ilmu yang memupuk pemikiran kritis dan celik maklumat serta suasana Harmoni.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial