AM > BERITA

Siswazah Digesa Pimpin Transformasi Sosioekonomi Sarawak – Abang Johari

09/11/2025 05:09 PM

SIBU, 9 Nov (Bernama) -- Siswazah Sarawak perlu memainkan peranan proaktif dalam memacu transformasi sosioekonomi negeri apabila ia bergerak ke arah menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.

Berucap pada Istiadat Konvokesyen ke-10 Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini, beliau berkata negeri ini memerlukan generasi berbakat yang bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, tetapi juga berintegriti, mampu menyesuaikan diri, dan mempunyai jati diri yang kukuh bagi menyokong pembangunan mampan.

Abang Johari, yang juga Pro-Canselor UTS, berkata pengetahuan dan kemahiran siswazah merupakan aset penting ketika negeri ini terus mengembangkan sektor strategik seperti tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital, kejuruteraan, penjagaan kesihatan dan pembuatan maju.

“Setiap seorang daripada anda memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan Sarawak. Biarlah konvokesyen ini menandakan permulaan perjalanan anda untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dengan tujuan dan tanggungjawab,” katanya.

Abang Johari berkata Skim Pendidikan Tinggi Percuma negeri, yang dijangka bermula pada 2026, menunjukkan komitmen jangka panjang kerajaan dalam membangunkan bakat tempatan yang mampu mengekalkan momentum pembangunan Sarawak.

Beliau menjelaskan inisiatif itu bertujuan memperluas akses kepada pendidikan tinggi, terutamanya untuk komuniti luar bandar dan golongan berpendapatan rendah, serta berfungsi sebagai pelaburan strategik untuk membangunkan tenaga kerja kompeten bagi memacu transformasi Sarawak menjadi ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Abang Johari menegaskan siswazah di bawah skim berkenaan tidak terikat dengan ikatan perkhidmatan, membolehkan mereka memperoleh pengalaman di tempat lain sebelum kembali menyumbang kepada Sarawak dengan kepakaran yang dipertingkatkan serta perspektif global.

Beliau juga menyeru siswazah supaya mengekalkan jati diri budaya sambil mengejar peluang antarabangsa, selaras dengan tema konvokesyen, ‘Global Impact, Local Identity’.

“Di mana sahaja perjalanan anda, jangan sesekali lupa asal-usul dan nilai-nilai yang menjadikan kita sebagai rakyat Sarawak,” katanya.

UTS terus memperkukuh peranannya sebagai pusat pembangunan bakat selaras dengan keutamaan pembangunan negeri, khususnya dalam digitalisasi, pendidikan teknikal, dan kerjasama industri-akademia, bagi memastikan graduannya bersedia memenuhi tuntutan pasaran kerja.

Seramai 247 graduan menerima skrol masing-masing pada hari kedua istiadat konvokesyen yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud di sini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan