KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Seni silat Melayu berpotensi besar untuk diangkat sebagai satu daripada produk pelancongan negara, khususnya sebagai tarikan istimewa bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), kata Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM) Datuk Kamarul Baharin A. Kasim.
Beliau berkata seni warisan itu bukan sekadar seni bela diri, tetapi turut menggambarkan identiti budaya bangsa yang bernilai tinggi serta mampu menjana ekonomi melalui sektor pelancongan dan kebudayaan.
“Bagi pihak muzium, kita melihat silat sebagai satu tarikan untuk diketengahkan kepada pelancong bagi memperlihatkan keaslian budaya dan jati diri negara. Jadi, usaha ini akan mula digerakkan bersempena dengan TMM2026,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Konvensyen Silat Melayu Antarabangsa 2025 (KOSSMA25) di Muzium Negara, di sini hari ini.
Kamarul Baharin berkata JMM bersedia menjalin kerjasama strategik dengan komuniti persilatan di seluruh negara bagi merealisasikan hasrat itu dan memastikan seni silat terus mendapat pendedahan meluas pada peringkat antarabangsa, meskipun perkara itu belum dimasukkan secara rasmi dalam agenda TMM2026.
Beliau menegaskan inisiatif berkenaan bukan sahaja akan memperkukuh diplomasi budaya, tetapi juga menjadi wadah memperkenalkan nilai seni dan falsafah silat yang merangkumi aspek seni, sains dan spiritual kepada dunia luar.
Turut hadir pada majlis itu ialah Datuk Seri Prof Emeritus Dr Awang Sariyan dan Presiden Persatuan Dunia Seni Silat Melayu Malaysia (DSSM) Roslim Abu.
Konvensyen berkenaan menarik penyertaan lebih 500 pesilat berdaftar dari dalam dan luar negara, serta tinjauan Bernama mendapati peserta memperagakan busana tradisional pahlawan Melayu yang menonjolkan keunikan warisan bangsa.
Acara turut diserikan dengan pameran kraf tangan, tekstil tradisional, dan demonstrasi seni silat pelbagai aliran, menggambarkan kepelbagaian gaya dan falsafah dalam seni pertahanan diri Melayu.
Bertemakan “Matra Silat: Seni, Sains dan Spiritual”, konvensyen itu turut menampilkan Seminar Seni Silat Melayu Antarabangsa yang menghimpunkan tujuh pembentang dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Taiwan dan Singapura.
Kesemua kertas kerja seminar akan diterbitkan dalam Prosiding Konvensyen Silat Melayu Antarabangsa 2025, yang boleh diakses dalam bentuk fizikal dan digital.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial