AM > BERITA

Hidap Kanser Limfoma Tahap Empat, Graduan UUM Bersyukur Hadiri Majlis Konvokesyen

09/11/2025 04:23 PM

SINTOK, 9 Nov (Bernama) -- Seorang graduan menghidap kanser Limfoma Hodgkin (Classic Hodgkin Lymphoma) tahap empat tidak menyangka beliau akan menghadiri Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

Lebih manis, Nor Shamira Irwani Farid, 24, graduan Sarjana Muda Pengurusan Kerja Sosial yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.94, dikurniakan Anugerah Emas Naib Canselor yang disampaikan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

“Saya tak sangka saya dapat hadir majlis konvokesyen pada hari ini sebab pada awal rawatan, kemoterapi yang kuat memerlukan saya dimasukkan ke wad.

“... tapi hasil rawatan sebelum ini menunjukkan perkembangan positif, membolehkan doktor menukar rawatan kepada ubat yang kurang kuat dan saya dapat menghadiri sesi pertama serta sesi kelapan konvokesyen,” katanya ketika ditemui selepas sesi pertama Majlis Konvokesyen UUM ke-38.

Bercerita mengenai penyakitnya, Nor Shamira Irwani berkata beliau mula perasan ketulan kecil pada leher kanannya pada 2022, namun tidak melakukan pemeriksaan kerana kekangan masa.

Nor Shamira Irwani berkata ketulan itu semakin besar pada awal tahun ini, sekali gus menyebabkannya banyak melakukan pemeriksaan sebelum didiagnosis menghidap penyakit itu pada 19 Ogos lepas.

Anak bongsu daripada tiga beradik berasal dari Nilai, Negeri Sembilan itu berkata keluarga, pensyarah dan rakan-rakannya menjadi dorongan untuk menempuh cabaran pengajian dan rawatan kesihatan.

Nor Shamira Irwani turut menitipkan pesanan bagi mereka yang menghadapi penyakit kronik atau masalah kesihatan mental untuk tidak berputus asa dan terus berusaha mencapai kejayaan dalam hidup.

“Penyakit bukan titik noktah untuk berjaya. Peganglah sekecil-kecil harapan kerana masih ada orang yang menyokong dan mendoakan kita,” katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah dan berkhidmat dalam bidang kerja sosial perubatan.

Kisah Nor Shamira Irwani itu turut disentuh Naib Canselor Prof Dato Dr Mohd Foad Sakdan dalam ucapan aluan sesi pertama pagi tadi dan mengajak semua tetamu untuk memberikan tepukan tanda sokongan kepada graduan berkenaan.

“Marilah memberi tepukan gemuruh sebagai sokongan dan kasih kita kepada Nor Shamira Irwani yang hadir bersama kita dalam dewan pagi ini,” katanya.

Pada majlis konvokesyen yang bermula hari ini hingga Khamis, Anugerah Pelajaran Diraja dikurniakan kepada Mohammad Noor Aiman Hassan Nudin, 23, dari Tawau, Sabah dan S. Vianca Syam, 24, dari Kedah, manakala Anugerah Pingat Emas Canselor diterima Wong Yoong Wai, 24, dari Seremban, Negeri Sembilan.

Penerima Anugerah Pelajaran Diraja menerima wang tunai RM7,500 berserta sijil, manakala penerima Anugerah Pingat Emas Canselor menerima RM4,000 berserta sijil.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan