KOTA BHARU, 9 Nov (Bernama) -- Bidang penulisan, sama ada kreatif mahupun bukan kreatif yang bersifat sarat dengan nilai pengajaran, wajar dijadikan teladan dan iktibar oleh generasi masa kini khususnya di Kelantan, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal.
Beliau berkata kerajaan negeri berharap lebih banyak penulis muda tampil menyertai dunia penulisan bagi membawa suara generasi baharu yang berpaksikan nilai murni serta kemanusiaan sejagat.
“Penulis muda perlu dibimbing, diberi ruang dan dirangsang supaya berani menyuarakan gagasan serta nilai murni. Saya juga ingin melihat karya dari Kelantan diangkat ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Pelbagai institusi, universiti, badan kebudayaan dan media turut memainkan peranan penting dalam melahirkan penulis baharu yang berwibawa dan kreatif,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Kelantan 2023/2024 di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di sini hari ini.
Tengku Mohamed Faziharudean berkata dalam dunia moden dan digital masa kini, peranan penulis semakin mencabar apabila mereka perlu menjadi penyampai kebenaran, pemangkin perubahan dan penjaga nilai, bukan sekadar mencatat peristiwa tetapi mentafsirkan makna di sebaliknya.
“Mereka (penulis) tidak hanya menulis kata-kata tetapi menyalakan api kesedaran dalam jiwa manusia dan kehidupan. Kerajaan negeri amat menghargai sumbangan besar para penulis serta sasterawan.
“Dunia sastera adalah perjalanan yang panjang dan penuh hikmah, maka teruslah menulis dan berkarya kerana setiap tulisan yang lahir dari hati yang tulus akan meninggalkan kesan kepada jiwa pembaca,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial