AM > BERITA

57 PPS Gua Musang Lengkap Bekalan, Penduduk Dinasihat Peka Tengkujuh

09/11/2025 06:18 PM

GUA MUSANG, 9 Nov (Bernama) -- Persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di daerah ini berada pada tahap terbaik apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menghantar bekalan makanan ke 57 pusat pemindahan sementara (PPS) dan 24 pangkalan hadapan bagi menghadapi kemungkinan banjir.

Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Gua Musang Mohd Roshdi Ismail berkata penghantaran bekalan keperluan seperti beras, minyak masak, gula, makanan retort dan barangan asas lain selesai dilaksanakan minggu lepas sebagai langkah kesiapsiagaan awal.

Beliau berkata bekalan itu mencukupi untuk digunakan mangsa banjir antara empat hingga lima hari yang akan ditempatkan di PPS antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi, SK Bertam Baru, Dewan Semai Bakti Felda Chiku 7 dan Dewan Orang Ramai Batu 6.

“Kita telah mengadakan dua mesyuarat penyelarasan MTL pada peringkat PKOB dan Pos Kawalan Tempat Kejadian bersama-sama agensi yang terlibat. Setakat ini, PKOB amat berpuas hati dengan persediaan yang dilakukan dan yakin pengurusan banjir dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Roshdi berkata semua agensi terlibat bersiap siaga memainkan peranan masing-masing, manakala anggota penyelamat juga dilengkapi dengan persediaan dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi kemungkinan bencana.

Beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran turut menyelenggara siren serta alat amaran awal bagi memastikan sistem berfungsi sepenuhnya sepanjang musim tengkujuh kali ini.

“Setakat ini persiapan berjalan lancar, dan kita juga akan melaksanakan satu simulasi bencana banjir dalam masa terdekat bersama dengan pihak polis bagi menguji keberkesanan tindakan di lapangan,” katanya.

Selain itu, PKOB sentiasa memantau perkembangan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia dan menasihati masyarakat supaya peka dengan ramalan hujan serta paras semasa sungai.

“Penduduk perlu mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah apabila diarahkan kerana kawasan yang tidak pernah banjir juga berisiko dilanda bencana pada musim tengkujuh ini. Orang ramai turut disaran memuat turun aplikasi MyIBJKM untuk memudahkan urusan pendaftaran di PPS,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Kampung Limau Kasturi Aluwi Muda berkata PPS di kawasannya turut dibekalkan dengan kemudahan tambahan seperti alas tidur dan khemah bagi keselesaan penduduk.

“Bukan sahaja bekalan makanan, pihak agensi juga datang membuat pemeriksaan siren dan penambahbaikan alat amaran awal di kampung ini minggu lepas. Kami amat berterima kasih atas keprihatinan agensi terhadap keperluan penduduk di kawasan berisiko banjir,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan