PUTRAJAYA, 10 Nov (Bernama) -- Reformasi perkhidmatan awam di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) akan terus diperkasa melalui Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025, yang berlangsung dari 5 hingga 7 Dis ini.
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata program di pekarangan Istana Kehakiman itu diadakan sempena sambutan tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI yang menekankan prinsip reformasi, nilai kemanusiaan dan keseimbangan antara pembangunan duniawi serta rohani.
“Penganjuran kali ini akan turut diserikan dengan pelbagai segmen interaktif yang terbuka kepada orang ramai, termasuk Konvensyen Tenaga Antarabangsa, MADANI Berselawat serta pelbagai aktiviti komuniti berteraskan keseimbangan duniawi dan ukhrawi,” katanya kepada media selepas menghadiri sesi libat urus bersama ketua pengarang media di sini hari ini.
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.
Shamsul Azri berkata program tiga hari itu akan menjadi penunjuk aras nasional bagi menonjolkan bagaimana reformasi dasar diterjemah kepada hasil nyata yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Program ini terbuka kepada umum dan percuma... kita akan tawarkan banyak perkara menarik kepada rakyat,” katanya sambil menambah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyempurnakan sesi penutup pada 7 Dis.
Kenyataan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) pula memaklumkan program itu merangkumi dua komponen utama iaitu Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku iaitu pameran interaktif dan sesi libat urus rakyat yang menampilkan pelbagai perkhidmatan kerajaan serta inisiatif di bawah Malaysia MADANI.
Bakal berlangsung juga adalah Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025, yang menampilkan sesi berprofil tinggi bersama Perdana Menteri, KSN dan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam bagi membincangkan hala tuju, pencapaian serta cabaran reformasi sektor awam ke arah 2026 dan seterusnya 2030.
Bertemakan "Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku", penganjuran program tahun ini memberi tumpuan kepada tiga objektif utama iaitu menilai dan mempamerkan kemajuan pelaksanaan ARPA dan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR), memperkukuh budaya prestasi, integriti dan empati dalam perkhidmatan awam serta mengukuhkan kolaborasi antara kerajaan, swasta dan rakyat melalui pendekatan keseluruhan negara.
Shamsul Azri juga berkata reformasi bukan pilihan tetapi satu kemestian.
"Ia adalah perjalanan bersama antara kerajaan, penjawat awam dan rakyat bagi memastikan tadbir urus yang telus, pantas serta berkesan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial