Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Inisiatif Pembangunan Kluster Perindustrian Wilayah Tengah diunjurkan menyumbang sebanyak RM24.5 bilion setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata inisiatif itu dijangka menarik RM12.5 bilion pelaburan diluluskan setiap tahun dan mewujudkan 5,000 pekerjaan bernilai tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Inisiatif ini seiring dengan objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Rangka Kerja Ekonomi MADANI, kami menyasarkan untuk menjadi lebih selaras, inklusif dan mampan.
“Bekerja secara silo (bekerja secara terasing) tidak akan memberi manfaat kepada Malaysia, kita memerlukan pembangunan kluster perindustrian ini, dan Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan berada pada kedudukan baik untuk menawarkannya (Inisiatif Pembangunan Kluster Perindustrian Wilayah Tengah),” katanya ketika ditemui Bernama di luar “Seminar Pelaburan Utama: Inisiatif Kluster Perindustrian di Wilayah Tengah”, di sini, hari ini.
Seminar pelaburan dua hari, bermula hari ini telah menghimpunkan 800 pemimpin industri, penggubal dasar, komuniti perniagaan dan pelabur.
Bertemakan “Menginovasi Industri, Menghubungkan Pasaran”, ia memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan rantaian bekalan dan membolehkan perusahaan tempatan berkembang bersama rakan kongsi multinasional.
Mengulas lanjut, Sikh Shamsul Ibrahim berkata inisiatif itu bukan sahaja akan memacu pembangunan perindustrian tetapi juga memanfaatkan kekuatan Kuala Lumpur dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang canggih untuk menyokong perindustrian tiga negeri berkenaan.
Commenting further, Sikh Shamsul Ibrahim said the initiative would not only drive industrial development but also leverage Kuala Lumpur’s strength in providing sophisticated financial services to support the industrialisation of the three neighbouring states.
“Di bawah inisiatif ini, kami memberi tumpuan kepada aeroangkasa, farmaseutikal, teknologi perubatan, elektrik dan elektronik, dan pembuatan makanan serta produk halal kerana ia adalah industri teras yang kami sasarkan untuk dibangunkan lagi,” katanya.
Beliau berkata inisiatif itu mewakili peralihan yang dirancang ke arah menarik pelaburan yang bersepadu secara mendalam ke dalam ekonomi domestik, membolehkan perusahaan kecil dan sederhana untuk mengambil bahagian dalam rantaian bekalan global serta mewujudkan mobiliti untuk tenaga kerja.
Mandat MIDA telah berkembang dengan ketara dengan Wilayah Tengah melengkapi koridor ekonomi serantau utama lain seperti Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), dan Iskandar Malaysia, kata Sikh Shamsul Ibrahim.
“Ini memerlukan kerjasama yang lancar antara kerajaan persekutuan dan negeri, perkongsian bermakna antara industri dan akademik dan kerajaan berperanan sebagai pemboleh dan bukan sekadar pihak berkuasa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial