KOTA BHARU, 11 Nov (Bernama) -- Sebanyak tujuh lot tanah dikenal pasti berstatus Tidak Dapat Dikesan (TDK) semasa pengambilan tanah bagi Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1 hingga Fasa 3 setakat ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata lot berkenaan tidak dapat dikesan dalam Sistem Pendaftaran Hakmilik Berkomputer semasa pewartaan dilakukan.
Beliau berkata lokasi lot TDK tersebut melibatkan dua lot di Floodbound Sungai Golok dan Sungai Mentua di Tumpat, manakala tiga lot lagi di Floodbound Sungai Lancang, Pasir Mas.
"Projek Tebatan Banjir di Kelantan ini adalah projek kerajaan Persekutuan. Pengambilan balik tanah untuk projek ini melibatkan syarikat konsultan dan firma jurukur dilantik oleh kerajaan Persekutuan, malah kerja-kerja pengambilan balik tanah juga dibuat Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian.
"Peranan kerajaan Negeri dalam proses ini ialah menerima dokumen lengkap oleh syarikat konsultan dan jurukur untuk diangkat ke Majlis Mesyuarat bagi mendapatkan kelulusan dan seterusnya membuat pewartaan di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 8 Akta Pengambilan Balik Tanah 1960," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Rozi Muhamad (PAS-Tendong) mengenai isu pengambilan tanah untuk tebatan banjir di Kelantan melibatkan PLSB Sungai Golok Fasa 1 hingga Fasa 3 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Mohamed Fadzli berkata kerajaan Kelantan amat menghargai usaha yang dilakukan kerajaan Persekutuan untuk membantu rakyat di negeri ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan telah menjimatkan RM1.7 bilion apabila pembinaan PLSB Sungai Golok disegerakan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata ia susulan keputusan kerajaan supaya ketiga-tiga fasa bagi pembinaan projek itu disekalikan, termasuk fasa yang diselenggara Majlis Keselamatan Negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial